Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini menjadi kecoh apabila kerajaan didakwa menafikan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dengan membawa usul untuk membolehkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bertentangan peraturan mesyuarat kerana tiada peraturan membolehkan usul itu dibentang tanpa mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU).

“Perkara 107 dalam Perlembagaan Persekutuan, Fasal 1, Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong dan hendaklah laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

“Kami menghujahkan bahawa laporan Ketua Audit Negara berdasarkan Perkara 107 Fasal 1 berkaitan dengan Kementerian Jabatan Persekutuan hanya perlu dibentangkan sahaja di atas meja ahli-ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

“Ianya telah dilakukan pada 16 Februari 2023, semakan dan kajian kami menunjukkan sepanjang perjalanan Dewan Rakyat di negara ini, tidak pernah Laporan Ketua Audit Negara dibentang untuk dibahaskan.

“Atas dasar itu kami berpandangan bahawa usul untuk membolehkan Laporan Ketua Audit Negara 2021 dibahaskan adalah bertentangan dengan standing order dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya selepas tamat sesi pertanyaan lisan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin juga meminta Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk menyatakan asas usul Laporan Ketua Audit Negara itu mahu dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat dilakukan dalam sidang Parlimen.

“Ini kerana kita menjangkakan pihak kerajaan akan menjawab tiada peruntukan yang menyatakan Laporan Ketua Audit Negara boleh dibahaskan.

“Saya ingin mengingatkan dalam undang-undang, kalau tidak ada undang-undang bertulis, ianya dipanggil satu konvensyen amalan yang dilakukan, amalan yang dilakukan sepanjang Parlimen.
Laporan Ketua Audit Negara tidak pernah dibahaskan dan ianya menjadi satu peraturan atau undang-undang.

“Atas dasar itu kami mencadangkan supaya usul ini tidak dibentangkan untuk dibahaskan di sini (dewan Rakyat)” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, usul kerajaan itu cuba menafikan peranan dan tugas PAC yang bertanggungjawab untuk mewujudkan prosiding berdasarkan teguran yang dibuat Ketua Audit Negara.

“Peraturan mesyuarat 77 (1)c iaitu pembentukan PAC jelas menyatakan bahawa Penyata-Penyata Kira-Kira Negara yang dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat mengikut Perkara 107 hendaklah diperiksa dan diambil tindakan oleh PAC.

“Agar dapatan audit dan syor yang terkandung dalam laporan tersebut dapat diambil tindakan dengan serius oleh pihak terlibat.

“Pihak terlibat dalam peraturan mesyuarat adalah PAC. Lazimnya, 23 tahun saya duduk dalam Parlimen, PAC yang mengendalikan prosiding untuk menyemak sebarang komen daripada Laporan Ketua Audit Negara yang dikemukakan di Parlimen.

“Itu tanggungjawab PAC untuk membentuk prosiding, panggil saksi, panggil KSU, panggil pegawai-pegawai daripada kementerian untuk membuat prosiding seperti yang ditegur Ketua Audit Negara

“Usul ini menidakkan tugas dan mengecil-kecilkan tugas PAC,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast