KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas Ahli Parlimennya yang keluar parti pada Februari 2020 susulan kemenangan kes saman RM10 juta ke atas bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini.
Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti sedia berbincang dan membuat pertimbangan untuk mengambil tindakan sama ke atas 10 bekas pemimpinnya yang mengikuti jejak bersama Zuraida ketika itu.
Beliau yang Menteri Komunikasi dan Digital berkata, ‘pengkhianat’ parti perlu diberi pengajaran dan mereka perlu bersedia membayar ganti rugi kepada parti di atas tindakan mengkhianati parti sebelum ini.
“Saya alu-alukan keputusan ini dan ia memberi kesan kerana pada waktu itu bila bon ditandatangani dan saya sendiri menandatangai bon tersebut
“Memang kita belum ada apa-apa akta anti lompat parti tetapi ia menjadi bukti bahawa Keadilan sebagai satu parti juga berpandangan tindakan lompat parti itu bukan sesuatu yang berprinsip dan itu antara sebab kita mengenakan bon kepada beliau dan juga kepada semua yang bertanding atas tiket PKR.
“Jadi mungkin pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat akan datang mungkin ada perbincangan, kita sudah ambil tindakan ke atas Zuraida dan ada keputusan sebegini.
“Mungkin pihak parti akan pertimbangkan kerana bukan beliau sahaja yang lompat parti pada itu ada sejumlah yang lain.
“Maka mungkin kita akan meneruskan tindakan undang-undang untuk semua yang lain menjadi pengkhianat. Pengajaran keputusan ini, jangan khianat kalau kamu khianat bersiap sedia untuk bayar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia 2022 Parlimen Pantai, di sini, hari ini.

Hari ini, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan saman oleh PKR untuk menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.
Hakim Datuk Akhtar Tahir, membuat keputusan itu selepas mendapati hujahan Zuraida bahawa bon itu ditandatanganinya atas alasan dipaksa adalah tidak berasas.
Mahkamah juga memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada PKR.
PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.
Menerusi saman itu, PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Pada 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).
PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Akhtar berkata, dakwaan Zuraida bahawa RM10 juta adalah tidak seimbang dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pencalonan pilihan raya juga tidak berasas. – MalaysiaGazette

















