PUTRAJAYA – DAP sedia berunding dengan rakan komponen Kerajaan Perpaduan termasuk tambahan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya ia berpotensi untuk menang dalam mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setiusaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun perkara itu masih dalam perbincangan dan ia tidak perlu didedahkan kepada umum selagi mana belum muktamad.
“Tak apa lah, kita bincang, itu masih dalam perbincangan, itu tak perlu kita cakap secara terbuka.
“Apa sahaja perundingan, diadakan secara tertutup dengan kawan-kawan rakan gabungan lain.
“Tak ada masalah, yang penting ialah kita ada satu semangat perpaduan.
“Apa sahaja boleh dibincangkan di antara kepimpinan tertinggi (Kerajaan Perpaduan),” katanya pada sidang media di Marina Putrajaya, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berharap parti itu diberikan lebih kerusi untuk ditandingi dalam PRN di mana-mana enam DUN, Ogos ini.
Kor Ming berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan sekiranya calon DAP berpotensi dan mempunyai peluang lebih cerah untuk menang di sesuatu kerusi DUN. – MalaysiaGazette
















