KUALA LUMPUR – Peminjam berharap Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru dilantik Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dapat menghentikan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Emg berkata, tindakan tersebut dapat membantu memberikan kelegaan kepada peminjam.
“Peminjam yang mengalami kos faedah yang lebih tinggi dan bimbang tentang pertumbuhan ekonomi yang mampan berharap BNM akan memberikan sedikit kelegaan dengan menghentikan kenaikan OPR apabila kadar inflasi menyederhana kepada 2.8% pada Mei daripada 3.3% pada April 2023,” katanya dalam kenyataan.
Guan Eng berkata, normalisasi dasar kadar faedah tidak seharusnya dilaksanakan terlalu awal apabila inflasi sedang menurun sehingga pertumbuhan ekonomi yang teguh terjamin.
Justeru, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 6 Julai akan diberikan tumpuan penuh sama ada Abdul Rasheed akan meneruskan atau menghentikan kenaikan OPR.
Ia adalah mesyuarat pertama yang akan dipengerusikan oleh Abdul Rasheed selepas beliau dinamakan sebagai penganti Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang tamat tempoh perkhidmatan pada 30 Jun.
Abdul Rasheed secara rasmi melaksanakan tugas sebagai Gabenor BNM bermula hari ini.
Menurut Guan Eng, Abdul Rashedd mengambil alih jawatan berkenaan pada masa yang kritikal apabila nilai ringgit berada dalam tekanan setelah susut nilai kepada RM4.68 berbanding dolar Amerika di bawah Kerajaan Perpaduan.
Katanya, ringgit yang lemah telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap peningkatan kos import kepada individu dan perniagaan.
Tambah beliau, terdapat keperluan untuk penjajaran dasar antara BNM dan Kementerian Kewangan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia bagi memenuhi mandat Abdul Raseed untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif kepada pertumbuhan mampan ekonomi Malaysia.
“Hanya dengan itu Malaysia boleh mengekalkan pertumbuhan ekonomi tanpa tekanan inflasi yang menaik dalam persekitaran global dengan pertumbuhan ekonomi global yang lemah dan jangkaan inflasi yang sukar menurun,” kata Guan Eng.-MalaysiaGazette
















