LANCHANG – “Kami tak berdaya dah..” Itu luahan salah seorang penduduk di Kampung Insaf, di sini yang acapkali menjadi mangsa banjir.
Menurut Mohamad Hairul Adlan Husin, 38, ia bagaikan mimpi ngeri buat dia sekeluarga dan 16 isi rumah lain di Kampung Insaf, di sini kerana kawasan itu sering dilanda banjir sejak bertahun dahulu.
Apatah lagi katanya, langkah berwaspada perlu dipertingkatkan kerana kawasan itu pernah dilanda bah terburuk sebanyak dua kali setahun pada 2021 yang telah menghanyutkan tiga buah rumah dalam tragedi tersebut.

“Banjir teruk sehingga paras separuh rumah, ada yang sehingga ke atap, sampai tahun 2021, rumah saya pula terkena banjir teruk awal tahun dan hujung tahun.Bayangkan tiang elektrik tu tinggal paras beberapa kaki sahaja nak tenggelam.
“Setiap tahun keluar duit beribu-ribu beli barang. Kesudahannya kami beli barang (perabot) besi je sekarang, tak boleh dah pakai kayu. Perabut cantik-cantik pun tak ada dah” luah Mohamad Hairul ketika ditemui di sini.
Tinjauan MalaysiaGazette turut mendapati masih terdapat sisa perabot rumahnya yang rosak terkena banjir, manakala peralatan lain kini diletakkan tinggi di atas rak sebagai langkah berjaga-jaga.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Pahang pernah berjanji memberikan penempatan baharu kepada mereka sebelum tahun 2004 lagi, namun janji itu tinggal janji semata-mata.
Disebabkan itulah, dia sepakat bersama kesemua 16 keluarga yang terjejas di kampung itu menghantar memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 16 Jun lalu menuntut janji terbabit.
“Kalau boleh, biarlah selesai secepat mungkin, sebab seperti kebiasaannya lima bulan lagi akan mula hujan lebat semula,” tambah Mohamad Hairul lagi.
Lain pula nasib menimpa Mohd Razi Ismail, 49 apabila dia terpaksa menyewa rumah di kawasan lain kerana rumahnya hampir roboh akibat dilanda banjir.
Apa yang diharapkan adalah satu tapak yang baharu dan selamat daripada banjir untuk didirikan rumah ekoran tidak mampu lagi untuk mengganti perabot setiap kali rosak akibat banjir.
“Saya terpaksa menyewa rumah di kawasan lain dengan sewa RM300 sebulan sebab rumah saya ni tak dapat nak duduk lepas banjir teruk tahun 2021.
“Hidup dah macam merempat, sebab orang tak peduli. Sekarang sedang cuba minta bantuan rumah baharu. Tapi tiada berita. Bukan rumah besar, cuma untuk berteduh daripada hujan sahaja,” luahnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Marjiah Mohamad, 50 juga mengakui sudah tidak berdaya menanggung kerugian harta benda apabila rumahnya ditenggelami banjir.

“Sebab tu kalau kerajaan ada nak beri penempatan, makcik memang nak sangat lah. Bukan tak sayang rumah ni, tapi dah tak daya nak menghadap banjir. Malu juga asyik Kampung Insaf je yang kena banjir,” katanya.
Difahamkan Kerajaan Negeri sebelum ini telah menawarkan empat keluarga di situ untuk berpindah ke Bukit Bendera, Mentakab, namun ia dikatakan tidak praktikal memandangkan mereka bekerja sebagai nelayan darat dan anak-anak juga masih bersekolah di sini.
Justeru, apa yang mereka harapkan agar Kerajaan Negeri dapat mempertimbang penempatan baru buat mereka 17 keluarga di sebuah kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah pun ditinggalkan terletak kira-kira 1 kilometer sahaja dari Kampung Insaf. – MalaysiaGazette
















