Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia

 

KUALA LUMPUR- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun 2023 akan dilaksanakan pada 4, 5 dan 6 September 2023 melibatkan tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, seramai 8,587 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPMU tahun 2023 di 204 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 1,639 petugas peperiksaan telah dilantik untuk Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu serta 1,332 petugas peperiksaan untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu.

“KPM mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU tahun 2023 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan SPMU tahun 2023 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan lp.moe.gov.my. Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian di pautan sppat.moe.gov.my,” katanya dalam kenyataan di sini.

KPM turut mengingatkan calon supaya mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPMU tahun 2023 dan mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua calon peperiksaan terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast