Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman bersama sebahagian bakal jemaah haji yang hadir pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Khas Haji 1MDB di Masjid Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 FEBRUARI 2018.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak mengakui 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memiliki hutang berjumlah RM42 bilion tetapi ia tidak pernah lesap seperti dakwaan sesetengah pihak.

Perdana Menteri menegaskan, hutang itu mampu dibayar semula melalui aset yang dimiliki syarikat pelaburan negara tersebut.

“1MDB ini pun janganlah kita kutuk sangat. Sampai kebaikannya pun kita tidak nampak sama sekali.

“Jangan fitnah kata RM42 bilion lesap. RM42 bilion tak lesap. Itu hutang. Hutang boleh kita lunaskan melalui aset yang lebih.

“Ini yang sedang kita laksanakan dengan gigih. Kalau tak betul, kita betulkan. Kalau ada kepincangan kita ambil tindakan,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap di hadapan 1,200 bakal jemaah haji 2018 pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Khas Haji Perdana Menteri tajaan Yayasan 1MDB di Masjid Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib menegaskan, kerugian jual beli mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia yang pernah dilakukan oleh bekas pemimpin negara sebelum ini sebanyak RM31 bilion lebih besar kerugiannya.

“Janganlah kita kata hilang duit (atau) kerugian besar. Itu kerugian forex berjumlah RM31 bilion itu lebih besar kerugian kepada negara kita. Dalam zaman siapa?

“Dalam zaman orang yang kata kononnya haji (tajaan) 1MDB ini tidak mabrur, tuhan tak terima.

“Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussaini kata ini kuasa jangan manusia ambil. Ini kuasa mutlak Allah. Kuasa mutlak Allah manusia tak ada hak. Apatah lagi manusia yang bukan ilmu dia.

“Ini kuasa Allah. Allah tentukan rezeki dan pahala kita. Jangan manusia nak ambil alih. Jangan politikkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast