KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya membawa isu Palestin ke peringkat antabarangsa pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) UNGA ke-78, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, beliau melihat ucapan Perdana Menteri itu mendapat sambutan bergema daripada seluruh perwakilan dan ia merupakan sesuatu yang sangat amat luar biasa.
“PM (Perdana Menteri) berucap di PBB itu merupakan satu tempoh lama yang saya tunggu-tunggu.
“Selepas saya tengok beberapa tahun terlalu sendu, kemunculan dan kehebatan pemimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim di PBB memang sangat hebat.
“Biarpun dalam waktu yang terbatas bercakap tentang Islamofobia, menyentuh tentang isu Ukraine, Rusia, menyentuh tentang isu Palestin dan dalam waktu singkat menyentuh tentang Madani, itu sangat luar biasa,” katanya.
Beliau demikian kepada MalaysiaGazette selepas merasmikan Ekspo Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)-InTeLeX bersempena Bulan Akademia 2023 di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Naib Canselor, UPNM, Lt. Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
Sebelum ini media melaporkan, ucapan Anwar pada perhimpunan tersebut mendapat sambutan daripada wakil-wakil pimpinan dunia yang hadir.
Intipati ucapan tegas dan berani Anwar berhubung tindak-tanduk Israel terhadap Palestin mendapat perhatian banyak pemimpin negara lain.
Ia membuktikan bahawa Perdana Menteri itu seorang yang berani, tegas dan berpijak pada realiti semasa.
Malah, ucapan Anwar yang mengutuk sikap hipokrit PBB ke atas Palestin turut mendapat pujian ramai pihak.
Sementara itu, Mohammad Agus berkata, J-Kom telah memainkan peranan dan fungsinya dengan baik apabila berjaya melaporkan mengenai perkembangan isu-isu semasa.
“Kita ada tiga isu yang nak diperhatikan iaitu isu kos sara hidup, isu Palestin dan juga berkenaan bajet yang kita nak umumkan Jumaat ini.
“Jadi, kita dah bersiap sedia untuk tugas itu, bagaimana kita laporkan isu berkaitan dengan Palestin ini, adalah medsos (media sosial) kita.
“Kita laporkan ucapan pemimpin, kita laporkan komen, kita juga berikan komen, kita buat infografik kita buat video…kita buat sebaik mungkin yang kita boleh untuk disampaikan kepada rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, J-KOM turut menyampaikan mesej-mesej yang disampaikan oleh pemimpin terutamanya mengenai keresahan terhadap apa yang berlaku di Palestin. – MalaysiaGazette

















Semoga PMX berjaya perjuangkan nasib rakyat palestin yg telah lama ditandas.. Terbaik Jkom menjadi perantaraan kerajaan dan rakyat. byk program yg telah jkom lakukan utk menyampaikn dasar2 kerajaan madani sampai ke akar umbi