Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis akan menyiasat dan mendapatkan maklumat mengenai orang tengah atau dalang yang merekrut rakyat Malaysia dalam penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud melibatkan seramai 43 warga negara ini yang diselamatkan di Peru, Amerika Selatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya ketika ini sedang menunggu kepulangan kesemua mangsa tersebut dari Peru.

“Polis dimaklumkan bahawa seramai 43 orang rakyat kita diselamatkan oleh pihak berkuasa kerajaan Peru yang mana 26 orang daripadanya adalah wanita manakala selebihnya lelaki yang berusia maksimum 36 tahun.

“Kementerian Luar sedang mengendalikan urusan membawa pulang kesemua mangsa kerana mereka ditangkap dan diselamatkan di sana,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Menara 1 Bukit Aman hari ini.

Tambah Razarudin, ia merupakan kes pertama dilaporkan di Benua Amerika Selatan membabitkan mangsa penipuan tawaran kerja tidak wujud di luar negara yang terdiri daripada rakyat Malaysia.

“Ini kes pertama penipuan tawaran kerja membabitkan mangsa rakyat Malaysia di Benua Amerika (Peru) kerana sebelum ini kes seumpama lazim dilihat hanya berlaku di negara-negara Asia Tenggara iaitu Laos, Kemboja dan sebagainya.

“Kita buat masa ini memantau dan menunggu proses membawa pulang kesemua mangsa itu ke Malaysia selesai.

“Selepas mereka balik nanti kita pasukan kita dari D3 Jabatan Siasatan Jenayah akan menembual semua mangsa berkenaan untuk mengenal pasti siapa yang menjadi perekrut atau dalang sehingga kesemua 43 mangsa ini pergi ke Peru dan terperangkap dalam scam ini,’ katanya lagi.

Menurutnya, kesemua mangsa didapati pergi ke Peru selepas terpedaya dengan tawaran kerja tidak wujud itu pada 29 September lalu menerusi penerbangan udara secara sah sebelum ditangkap dan diselamatkan oleh pihak berkuasa Peru semalam.

“Sekiranya kenal pasti penglibatan individu memerangkap mereka dan modus operandi sindiket, satu kertas siasatan akan dibuka untuk menyiasat lanjut dan menjejaki ornag tengah yang bertanggungjawab atas penipuan ini,” tegasnya.

Semalam Wisma Putra dalam satu kenyataan mendedahkan tentang 43 rakyat Malaysia yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Peru selepas disyaki menjadi mangsa penipuan sindiket menawarkan kerja tidak wujud di Amerika Selatan itu.

Razarudin pada masa yang sama mengakui penipuan tawaran kerja tidak wujud di luar negara masih berlaku membabitkan mangsa rakyat negara ini walaupun nasihat dan hebahan menerusi media sosial diuar-uarkan sebagai pencegahan awal.

“Kita akan terus mendidik rakyat agar mana-mana tawaran kerja di luar negara yang diterima selepas ini dapat diteliti mengelak ditipu dan terkandas di luar negara.

“Pada masa sama, kita meminta semua tahanan rakyat Malaysia yang akan pulang kelak dari Peru agar memberi kerjasama yang baik kepada PDRM agar kita boleh membantu membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast