Ahli Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tunku Abdul Aziz bercakap pada sidang media berkaitan kemelut beliau dengan Pengerusi Media Prima, Datuk FD Iskandar di Hotel Hilton PJ, Petaling Jaya. foto SAFWAN MANSOR, 20 DISEMBER 2016
Oleh Radzuan Hassan

KUALA LUMPUR – Tunku Abdul Aziz Ibrahim hari ini mencabar Datuk Seri FD Iskandar menyamannya atau letak jawatan sebagai Pengerusi Media Prima.

Bekas Pengerusi DAP itu berkata, pihaknya sudah memberikan tempoh seminggu yang berakhir semalam untuk Fateh meminta maaf sebelum ini.

“Dia (Fateh) sepatutnya saman saya bukan saya saman dia. Saya dakwa dia pembohong dan dia hanya menafikannya.

“Dia ada menafikan kenyataan saya tetapi tidak mengeluarkan kenyataan kepada umum yang saya punca rating Buletin Utama menurun seperti saya minta,” ujarnya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu, dalam satu kenyataan Tunku Abdul Aziz mendakwa FD Mansor menjadikan dirinya sebagai alasan rating Buletin Utama menurun kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Maklumat itu diberitahu oleh seorang sumbernya.

Tunku Abdul Aziz seterusnya mencabar FD Mansor meminta maaf secara terbuka dan memberi tempoh seminggu berakhir semalam tetapi tidak ada respon daripada Pengerusi Media Prima itu.

“Sekarang dia (FD) gagal memenuhi tuntutan tujuh hari dan bagi membuktikan dia tidak bersalah dia sepatutnya saman saya.

“Jika tidak dia kena letak jawatan. Media Prima tidak memerlukan seorang pengerusi seperti dia,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada beliau ada masalah peribadi dengan FD sebelum ini, Tunku Abdul Aziz memberitahu yang beliau tidak pernah mengenali FD sebelum ini.

“Saya pun terkejut apabila dia tuduh saya tiba-tiba. Dia dakwa rating Buletin Utama menurun kerana penampilan saya dalam Buletin Utama sebanyak 12 kali antara Oktober hingga November sebagai puncanya sedangkan sepanjang tempoh itu saya muncul hanya tiga kali sahaja,” jelasnya.

Tunku Aziz yang juga salah seorang Ahli Panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memberitahu, sumbernya mengenai kenyataan dibuat FD adalah rahsia tetapi menyatakan ia datang daripada orang yang dipercayai kredibilitinya.

“Siapa sumber itu saya akan bawa rahsia itu sampai ke kubur tetapi jika dia saman saya akan mendedahkannya di dalam mahkamah,” tegasnya.

Ditanya sama ada beliau akan membuat penjelasan kepada Najib, Tunku Abdul Aziz menjelaskan setakat ini ia masih pada peringkat antaranya dengan FD sahaja. –MalaysiaGazette