Khalid Abu Bakar

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menempelak pihak berkuasa Thailand yang menyifatkan Pulau Pinang sebagai hab pengedaran dadah di rantau ini.

Walaupun mengakui negeri itu menjadi lokasi aktiviti penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah namun, katanya adalah tidak wajar menggelar Pulau Pinang sebagai hab aktiviti itu.

Katanya, antara faktor yang mengaitkan Pulau Pinang dengan hab pengedarkan dadah berikutan penduduk di negeri itu menjalankan perniagaan di selatan Thailand yang mana memudahkan sindiket mengambil kesempatan menjalankan aktiviti mereka.

“Jadi untuk menyatakan bahawa negeri itu adalah satu hab pengedaran dadah tak berapa tepatlah. Dadah ini pun datang dari negara jiran Thailand itu juga.

“Kalau bukan dari negeri itu, dadah dibawa ke selatan Thailand sebelum diseludup masuk ke Malaysia dan negara lain.

“Hanya kerana ia datang dari Pulau Pinang atau dua tiga orang daripada negeri itu terlibat dalam pengedaran dadah itu tak bermakna ia (P.Pinang) adalah satu hab,” katanya sidang media selepas majlis Pemakaian Pangkat kepada 11 Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman hari ini.

Beliau menyatakan demikian apabila ditanya mengulas kenyataan Komander Bahagian Pencegahan Narkotik Selatan Thailand, Maj-Gen Dussadee Choosankij yang mendakwa sindiket dadah menjadikan Pulau Pinang sebagai hab dan lokasi transit pengedaran barang terlarang itu dari kawasan Segitiga Emas yang terletak di sempadan Laos, Myanmar dan Thailand.

“Saya rasa ia (Pulau Pinang) adalah hab kerana ada pelabuhan strategik dan sindiket warga Malaysia mempunyai rangkaian dengan sindiket dadah negara lain dan pasaran utama dari Pulau Pinang adalah Taiwan sebelum di eksport semula ke negara lain,” kata pegawai polis itu semalam.

Kata Khalid, polis sentiasa bertindak terhadap kumpulan berkenaan yang mana kebanyakan kejayaan membenteras penyeludupan dadah di Thailand juga adalah hasil daripada kerjasama Polis DiRaja Malaysia dengan bertukar maklumat risikan.

“Dalam perkara ini kita tidak boleh katakan negara ini hab atau pusat, tetapi dunia iktiraf Segitiga Emas adalah satu kawasan pengeluar dadah terbesar dunia.

“Ini sebenarnya berkaitan permintaan dan pengedaran. Selagi ada permintaan maka pengedaran akan terus wujud, jadi kita kena perang habis-habisan dua elemen ini.

“Saya rasa kerajaan sedang merangka akta dadah baharu dalam kita menghadapi dan menangani ancaman dadah secara berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette