Johari Abdul Ghani. foto FAREEZ FADZIL, 21 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) tahun lalu yang masih belum terima bayaran tahun ini akan menerima bantuan itu secara berperingkat bermula minggu depan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abd Ghani.

Bagaimanapun,Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abd Ghani berkata, untuk pembayaran kali kedua yang akan dilakukan pada Jun depan, penerima tahun lalu diwajibkan mengemaskini maklumat kewangan mereka.

“Mana-mana mereka yang pada 2016 dapat BR1M tetapi tahun ini tak dapat, LHDN kena bayar juga. Minggu depan semua kena dapat BR1M.

“Terdapat sejumlah 705,562 penerima akan dimasukkan BR1M dalam akaun mereka minggu depan.

“Untuk permulaan ini kita akan bagi dahulu namun untuk dapat pemberian kali kedua dia kena update rekod dia. Dia kena bagi penyata bank,” kata Johari pada sidang media di Parlimen hari ini.

Johari juga sekali lagi mengulangi dakwaan pemohon yang tersenarai dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak melayakkan mereka mendapat BR1M adalah tidak benar, cuma pemohon perlu mengemukakan dokumen bukti untuk menunjukkan pendapatan mereka bawah RM4,000.

“Bukan sebab SSM. Penerima mesti berpendapatan RM4,000 ke bawah. Maka dia kena ada bukti mesti kurang daripada itu. Kita telah tolak 600,000 permohonan.

“LHDN jangan jadikan SSM sebagai alasan. Ianya hanya sebagai rujukan sahaja,” katanya.

Kerajaan katanya, akan membuat semakan kewangan pemohon BR1M hanya melalui Jabatan Pendaftaran Negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Akauntan Negara (bagi penjawat awam), Kumpulan Wang Persaraan dan Kementerian Pelajaran (jika pemohon terima vaucher buku).

Sementara itu, Johari turut mendedahkan ada dalam kalangan pemohonan BRIM yang diterima untuk diproses daripada mereka yang berpendapatan melebihi RM10,000.

Bagi beliau ini ia adalah satu perkara yang tidak masuk malah melahirkan rasa terkejut kerana sudah jelas BR1M hanya disalurkan kepada mereka yang berpendapatan bawah RM4000. – MalaysiaGazette