Ustaz Kazim Elias.
IPOH – Penceramah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias (Ustaz Kazim) mendedahkan terdapat hampir 100 akaun media sosial seperti Facebook, Instragram dan Twitter palsu yang menggunakan nama beliau.
Menurut Ustaz Kazim, jika dihimpunkan keseluruhan media sosial itu, bilangan pengikutnya mencecah kira-kira 3 juta orang.

Beliau menjelaskan bahawa tidak mempunyai Instagram serta Twitter dan hanya mempunyai satu akaun Facebook di atas nama ‘Dato’ Ustaz Kazim Elias’.

“Saya takut adanya salah faham daripada masyarakat luar menganggap itu adalah daripada saya sedangkan saya cuma ada satu sahaja akaun Facebook, Dato’ Ustaz Kazim Elias yang mempunyai 1.2 juta pengikut,” katanya dalam sidang media di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi, dekat sini pada Jumaat.

Ustaz Kasim memberitahu, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Manjoi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 7 Mac lalu, meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab.

Beliau bimbang, terdapat posting di dalam akuan palsu berkenaan yang menyentuh isu keselamatan negara, seperti isu perkauman yang menjadi tempat pertelingkahan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Beliau memberi contoh, antara isu yang viral ialah pertelingkahan mengenai Zakir Naik sehingga terdapat komen-komen yang menyentuh isu perkauman dan sebagainya.

“Sedangkan itu bukan saya punya dan saya tidak pernah pun memasukkan gambar-gambar yang berkenaan,” ujarnya.

Menurut beliau, antara laman Facebook yang menggunakan nama beliau ialah ‘Koleksi Kata-Kata Ustaz Kazim’ dengan 900,000 pengikut, ‘Ustaz Kazim Fan Club’ (115,000 pengikut) dan ‘Kalau Dah Jodoh Ustaz Kazim’ (274,000 pengikut).

Ustaz Kazim turut melahirkan rasa bimbang kemungkinan terdapat unsur-unsur penipuan atau tujuan tidak baik di sebalik kewujudkan akaun palsu itu.

“Dan yang saya bimbang, mereka menggunakan Facebook palsu seperti ini untuk mengutip dana atau mengumpulkan derma yang kononnya untuk membantu sekolah saya Al-Barakah.

“Kami pihak sekolah juga tiap-tiap hari menerima panggilan telefon bertanya betul ke kami pungut dana nak bantu orang miskin anak yatim dan sebagainya,” tambah beliau.

Selain itu, ujarnya, terdapat juga posting yang menyiarkan gambar yang bukan-bukan, hadis-hadis palsu dan sebagainya yang turut terpalit kepadanya sehingga beliau dikatakan pengeluar hadis palsu.

“Contohnya baru-baru ini ada yang menunjukkan gambar ikan bawal, kononnya itu gambar ikan paus Nabi Yunus, ini memalukan saya dan saya kecewa kerana dicop sebagai pengeluar hadis palsu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya pengguna laman sosial supaya lebih berhati-hati dan jika boleh gunakan saluran Facebook beliau yang betul.

“Saya juga menyeru kepada yang terlibat mengeluarkan Facebook dan media sosial menggunakan nama saya, supaya hentikan guna nama saya dan Al-Barakah,” ujar Ustaz Kazim.