JELI – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyangkal dakwaan bahawa ekonomi negara akan musnah pada September ini disebabkan nilai ringgit yang terus menyusut.

Beliau berkata, dakwaan tersebut sengaja disebarkan oleh pihak tertentu bagi memburukkan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya, tidak ada sebab ekonomi negara akan musnah memandangkan kedudukan ekonomi dunia semakin baik serta nilai ringgit yang bertambah kukuh.

“Ini Nujum Pak Belalang, semakin dekat pilihan raya pelbagai dakwaan ditimbulkan. Sedangkan tidak ada sesiapa yang mampu membuat unjuran yang tepat berkaitan soal tersebut.

“Apa yang penting sekarang, kerajaan sentiasa berusaha memantapkan kedudukan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli di sini hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, tersebar dakwaan bahawa nilai ringgit bakal menyusut lebih teruk dan akan meruntuhkan ekonomi negara menjelang September ini.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, sektor perdagangan telah menunjukkan peningkatan yang cukup memberangsangkan terutama dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Perdagangan kira-kira 23 peratus dalam tempoh berkenaan dan ini merupakan rekod terbaik sejak tahun 2010.

“Kita yakin pretasi cemerlang itu boleh ditingkatkan lagi dan mencapai sasaran lebih baik sejajar dengan perkembangan ekonomi dunia,” katanya. – MalaysiaGazette