Kebanyakan tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah melepasi proses semakan dan mula dibayar balik secara berperingkat sehingga akhir tahun, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri T.Subromaniam. 
Kerajaan akan menambah baik dari aspek kecekapan proses bayaran balik jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula,
KUALA LUMPUR – Isu pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan terus dimanipulasi pembangkang untuk memperdaya rakyat demi memenangi pilihan raya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, katanya, pada hakikat pembangkang tidak berani menghapuskan GST kerana ia telah terbukti satu sistem yang lebih sistematik dan diguna pakai lebih 140 negara di dunia.

“Pembangkang tahu GST menggantikan penurunan hasil minyak. Jadi apabila mereka membuat pusingan-U, untuk mengekalkan GST, penyokong mereka rasa terpedaya.

“Jadi mereka tergesa-gesa ingin menurunkan kadar 6 peratus ke 0 peratus.Tindakan ini tidak masuk akal kerana apa guna adanya sistem yang canggih ini kalau tiada cukai yang dikutip?,” katanya dalam catatan blog najibrazak.com hari ini yang bertajuk Ucapan Perdana Menteri Mengenai Pusingan-U Pembangkang Berkenaan GST.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pembangkang tidak berani menghapuskan terus sistem ini secara keseluruhan.

Perdana menteri berkata kecekapan GST telah meningkatkan perolehan dan membolehkan perkhidmatan awam diteruskan, selain ekonomi tidak ranap, akibat kejatuhan harga minyak.

Beliau berkata realitinya sejak tahun 2015, hasil tahunan negara jatuh sebanyak kira-kira RM40 bilion, berikutan kejatuhan harga minyak.

Jelasnya, tanpa jumlah ini dalam bajet tahunan, kerajaan tidak mampu membayar gaji penjawat awam, menyediakan sekolah, hospital baharu dan membiayai anggota keselamatan negara.

“Mujurlah sistem GST diperkenalkan, iaitu sistem yang menggantikan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) sedia ada.

“Dulu pun sebenarnya cukai ada, tetapi tidak didedahkan oleh sebilangan peniaga, membolehkan mereka menetapkan kadar sesuka hati, manakala sistem GST memaklumkan kepada pengguna dengan jelas kadar 6 peratus,” kata Najib.

Menurut beliau, baru-baru ini beberapa pemimpin pembangkang menyatakan bahawa mereka mahu menghapuskan GST.

“Percayalah pembangkang sebenarnya ingin memberhentikan separuh daripada penjawat awam, guru, doktor, anggota keselamatan, pembinaan sekolah, masjid, jalan raya, hospital, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan asas awam sekiranya mereka memerintah,” katanya.

— BERNAMA