Kementerian Luar, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan bersenjata ke atas kenderaan yang membawa penganut Koptik Kristian di Wilayah Minya, Mesir semalam.

Kejadian itu telah meragut 28 nyawa termasuk kanak-kanak dan 23 orang awam tercedera.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini merakamkan ucapan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Republik Arab Mesir serta keluarga dan mangsa yang terlibat dalam insiden serangan tersebut.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah mengesahkan bahawa setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera di dalam insiden tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

Justeru, Malaysia melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah akan terus memantau perkembangan berkenaan insiden serangan tersebut.

Kementerian Luar juga mengingatkan rakyat Malaysia yang berada di Mesir supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap keadaan keselamatan mereka.

Sebarang pertanyaan atau bantuan boleh dikemukakan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah menerusi talian +2 02 3761 0013, +2 012 0027 6388 atau menerusi e-mel [email protected],” menurut kenyataan itu lagi.-MalaysiaGazette