Bank Negara Qatar di Doha

DOHA – Qatar memiliki AS$340 bilion rizab termasuk pegangan dalam dana kekayaan negara yang mampu membantu negara tersebut menghadapi pengasingan yang dilakukan oleh jiran-jirannya yang berkuasa.

Gabenor Bank Negara Qatar, Sheikh Abdullah Bin Saoud al-Thani memberitahu CNBC, bank pusat itu mempunyai AS$40 bilion rizab selain emas sementara Lembaga Pelaburan Qatar memiliki AS$300 bilion rizab yang boleh dicairkan.

“Kami mempunyai kredibiliti di dalam sistem dan memiliki tunai yang cukup untuk menghadapi sebarang cabaran,” katanya kepada saluran berita itu dalam satu temubual yang diterbitkan awal hari Isnin di laman webnya.

Saham-saham Qatar semakin lemah manakala riyal kekal tidak stabil sejak Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan dengannya sejak 5 Jun lalu atas tuduhan menyokong keganasan.

Doha telah menafikan dakwaan tersebut.

“Qatar mempunyai sistem yang baik dan unik. Kami memiliki undang-undang yang ditubuhkan untuk menentang sebarang keganasan.

“Kami bekerjasama dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan institusi-institusi lain untuk menubuhkan undang-undang, audit dan semakan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette