Datuk Mohd Imran Tamrin
Datuk Mohd Imran Tamrin

KUALA LUMPUR – Beberapa ahli daripada badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap dua individu berhubung penyebaran video yang didakwa mempunyai niat jahat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kedua-duanya ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malahysia (PPBM), Zahid Mat Arip dan bloggers politik, Minaq Jinggo.

Penasihat Undang-undang Gabungan NGO Malaysia, Datuk Imran Tamrin yang dilapor sebuah portal tersebut berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Zahid menerusi video berdurasi 4.08 saat yang dirakam bloggers terbabit dilihat boleh mencetuskan provokasi dan menggugat ketenteraman kaum di negara ini.

Katanya, disebabkan video itu juga, Pemuda ARMADA telah berkumpul di Parlimen pada pagi tadi untuk menyatakan bantahan dan rasa tidak puas hati terhadap TPM seolah-olah mempunyai tanggapan negatif terhadap kaum India Muslim.

“Kami berharap pihak polis dapat memberikan keutamaan kepada perkara ini dan kami juga berharap pihak polis dapat melakukan siasatan dengan lebih lanjut kerana perkara ini melibatkan ketenteraman awam dan toleransi diantara kaum,” katanya.

Terdahulu menurut laporan itu, NGO berkenaan bersama Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk memberikan keterangan berkenaan kekecohan yang berlaku di antara Pemuda ARMADA dan Pemuda UMNO di bangunan PWTC pada 25 Julai lalu.

Mereka membuat dua laporan polis berkenaan Isu video tersebut dan Provokasi yang dilakukan oleh Pemuda Armada di Parlimen pada pagi tadi. – MalaysiaGazette