Jack Ma
Arkib: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma (kanan) pada pelancaran Fasa 1 Digital Free Trade Zone (DFTZ) di Litar Antarabangsa Sepang, Sepang. foto FAREEZ FADZIL, 03 NOVEMBER 2017.

SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan fasa pertama Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Aeropolis Park.

Bersamanya ahli perniagaan dari China yang juga pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Alibaba.com, Jack Ma.

Dengan pelancaran tersebut, DFTZ KLIA Aeropolis Park menjadi hab ePenunaian yang pertama Kumpulan Alibaba di luar daripada negara China.

Najib, dalam ucapannya berkata, DFTZ bakal mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan dan akan meningkatkan nilai eksport produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada RM160.95 bilion menjelang 2025.

“Ekonomi digital kini menyumbang 18.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan berpotensi meningkat sebanyak 20 peratus menjelang 2020.

“Pelaksanaan DFTZ fasa pertama hari ini mampu meningkatkan operasi dan pertumbuhan usahawan tempatan terutama dalam PKS.

“Ia sekali gus menyediakan persekitaran lebih kondusif kepada peniaga yang menyertai ekonomi Internet untuk memperluaskan pasaran produk serta perkhidmatan mereka ke peringkat global.

“Ia juga dijangka mampu menggandakan pertumbuhan jumlah kargo udara Malaysia daripada 700,000 tan setahun sekarang ini kepada 1.3 juta tan setahun dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Jack pula percaya kerjasama itu adalah permulaan perkongsian strategik yang panjang antara kedua-dua negara.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma berucap pada pelancaran Fasa 1 Digital Free Trade Zone (DFTZ) di Litar Antarabangsa Sepang, Sepang. foto FAREEZ FADZIL, 03 NOVEMBER 2017

“Alibaba Group tentu sekali merancang untuk kekal dan memperkukuhkan kehadiran kami di sini,” katanya.

Hab e-penunaian dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk kemudahan pengasingan, rak dan kutipan, unit perindustrian yang membolehkan pembaikan dan pemasangan kecil sebelum penghantaran barangan, pemeriksaan kastam dan kawasan kuarantin serta kemudahan khusus kategori seperti menjaga keselamatan, simpanan terkawal suhu dan kemudahan lain.

Hab ePenunaian ini akan dibangunkan dalam dua fasa iaitu fasa pertama berada di KLIA Air Kargo Terminal 1 (KACT1), diperbaharui dan dikendalikan Pos Malaysia Bhd.

Fasa kedua pula akan menjadi cabang logistik pembangunan hijau dari Alibaba, membabitkan kawasan seluas 24 hektar yang akan dibangunkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan CAINIAO Network.- MalaysiaGazette

Comments are closed.