Tian Chua
Tian Chua

KUALA LUMPUR – Satu waran tangkap dikeluarkan terhadap pemimpin PKR, Tian Chua kerana tidak hadir ke pengurusan kes rayuannya terhadap kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 pada 2013.

Waran itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa pengurusan kes rayuan itu bermula 2.30 petang tapi sehingga 4 petang, Naib Presiden PKR itu dan peguamnya gagal hadir tanpa memberi sebarang alasan kukuh.

Hakim Datuk Sofian Abd Razak membidas ahli Parlimen Batu itu tidak menghormati mahkamah dan mengeluarkan perintah waran tangkap ke atasnya.

Beliau kemudiaan menetapkan 18 Januari 2018 untuk pengurusan kes.

Pada 28 September 2016, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 3 bulan dan denda RM1,800 kepada pemimpin pembangkang berusia 54 tahun itu kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam ceramah di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor antara 8.55 malam hingga 11.15 malam, 13 Mei 2013, seminggu selepas pilihan raya umum ke-13. – MalaysiaGazette