Home Seni Hidup Azmil Mustapha meninggal dunia dalam tidur

Azmil Mustapha meninggal dunia dalam tidur

Allahyarham Azmil Mustapha meninggal dunia pada usia 65 tahun.

KUALA LUMPUR – Pelakon popular era 80-an, Azmil Mustapha meninggal dunia di kediamannya di Seksyen 9, Shah Alam pukul 12.40 tenghari tadi.

Hero filem Ali Setan itu difahamkan meninggal dunia dalam tidur apabila tidak bangun selepas dikejutkan oleh ahli keluarga.

Berita disahkan oleh adiknya, Aziph. Mustapha.

Beliau memberitahu, jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Alam (Masjid Biru) untuk urusan serta solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

“Kami memohon maaf bagi pihak Allahyarham atas segala kekhilafan, dan mohon doakan kesejahteraan Allahyarham. Mohon hubungi kami sekiranya ada sebarang kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Oktober lalu, allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya kerana sukar bernafas.

Azmil, 65, sebelum ini pernah dikejarkan ke hospital selepas mengalami masalah jantung dan dirawat di Unit Rawatan Kardiologi, Hospital Putrajaya.

Aktor Terbaik di Festival Filem Malaysia 1986  juga popular menerusi filem Mekanik.

Azmil bersara ketika nama beliau di kemuncak kerjaya sekitar 1980an untuk mendalami ilmu agama di dalam dan luar negara.

Allahyarham pernah dua kali mendirikan rumah tangga, namun kedua-duanya tidak kekal lama. Melalui perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Shamira.

Bersama dengan isteri kedua pula, dia kurniakan empat anak iaitu Nur Azalea Arifah, Nur Amalia Batrisha, Muhammad Bazli Zhafri, dan Nur Alia Iman dan datuk kepada seorang cucu, Alexandria Carina. – MalaysiaGazette