Norfitri Amin bercakap pada sidang media bagi menjelaskan kenyataan Menteri Pertanian berhubung status Bernas di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras Negara (Padi Rescue) ternyata sedikit ‘terkilan’ dengan pengumuman kerajaan yang membuat saranan pecah monopoli PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) dengan melantik beberapa syarikat swasta sebagai pengimport beras.

Padi Rescue berpendapat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang kini diterajui oleh Kerajaan Pakatan Harapan seolah-olah ‘membelakangkangkan’ pandangan badan tersebut sebelum membuat keputusan berkenaan.

Menurut Koordinator Padi Rescue, Nurfitri Amir Muhammad, hasrat kerajaan yang mahu memecahkan monopoli Bernas disambut baik kerana hampir empat tahun badan tersebut memperjuangkan perkara itu.

Bagaimanapun, jelas beliau, kehendak kerajaan yang mahu melantik beberapa syarikat swasta lain sebagai pengimport beras tidak akan sesekali menyelesaikan lambakan beras import, selain mengakibatkan permintaan rendah terhadap padi tempatan.

“Perhatian kerajaan untuk menilai semula monopoli Bernas adalah sangat dialu-alukan tetapi apa yang mengecewakan apabila kementerian  tidak pula mengambil pandangan Padi Rescue sebelum keluarkan kenyataan sedemikian.

“Seharusnya kami yang mewakili para pengilang, pemborong Bumiputera serta pesawah dipanggil berbincang terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berhubung perkara tersebut di sini hari ini.

Nurfitri yang juga merupakan Ketua Pegawai Operasi MTEM melahirkan kebimbangan berkemungkinan besar beras import akan lebih banyak dan syarikat-syarikat swasta boleh membentuk kartel atau monopoli berkumpulan untuk mengawal pasaran beras.

“Akhirnya, ini akan menyebabkan potongan pemutuan yang tinggi terhadap petani. Matlamat akhir syarikat swasta adalah keuntungan semata-mata, besar kemungkinan mereka tidak akan bantu pesawah jika mereka merasakan akan kerugian apatah lagi dalam situasi beras import lebih murah.

“Industri ini perlu dikawal oleh pihak yang bukan bersifat komersil seperti Lembaga Padi dan Beras (LPN) yang mana matlamatnya adalah membantu petani, pengilang, pemborong dan pengguna demi jaminan keselamatan makanan negara.

“LPN perlu diwujudkan bagi menggantikan Bernas bagi meneruskan kelangsungan industri makanan penting negara.

“Mengembalikan fungsi LPN adalah tuntutan nombor 1 kami daripada 14 tuntutan yang telah dikemukakan oleh kami demi keseluruhan ekosistem industri,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, majoriti pesawah masih berada dalam kelompok di bawah garis kemiskinan dengan pendapatan bulanan antara RM200 dan RM500, dengan purata hasil 4.8 tan sehektar dan purata saiz sawah 1.26 hektar.

“Isu kemiskinan pesawah, kenaikan kos pesawah, potongan mutu beras, kualiti benih merosot dan pesawah berdepan cabaran serangan penyakit tanaman padi adalah perkara pokok yang perlu diteliti kerajaan.

“Industri padi dan beras sangat penting untuk memenuhi keperluan dan keselamatan makanan kepada rakyat. Kita tidak boleh biarkan nasib pesawah ‘mati’ disebabkan lambakan beras import,” ujarnya.

Dalam pada itu, Padi Rescue juga mencadangkan agar salah seorang daripada mereka dilantik untuk mewakili suara kumpulan petani pesawah penubuhan Majlis Perundingan Pertanian yang diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub baru-baru ini.

Majlis Perundingan itu yang akan ditubuhkan selewat-lewatnya bulan depan, berperanan untuk membuat beberapa penambahbaikan khususnya  meningkatkan produktiviti asas tani dan membuat penambahbaikan berkaitan teknologi pertanian, pemasaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Majlis perundingan itu bakal dianggotai oleh beberapa tokoh yang berpengalaman dalam bidang pertanian. – MalaysiaGazette