TERKINI : Proton Masih Berstatus Kereta Nasional – Syed Faisal

Proton Holdings Bhd. (Proton) memberi penjelasan kepada Majlis Penasihat Kerajaan bahawa pasaran perlu yakin bahawa syarikat tersebut masih lagi berstatus kereta nasional walaupun hampir separuh pegangannya dimiliki oleh pengeluar kereta ternama dunia, Geely.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, mereka perlu memberi keyakinan tersebut kepada bank, vendor dan pengedar selain meletakkan kepentingan Proton sebagai keutamaan.

“Mereka (CEP) tidak bertanyakan (pendapat kami) berhubung kereta nasional tetapi sudah pasti kami memberi penerangan kepada mereka bahawa kami perlu memastikan keyakinan ditanam di dalam pasaran automotif negara yang mana Proton adalah sebuah syarikat kereta nasional, begitu juga Perodua.

“Kami telah memberikan maklumat berkaitan perkara tersebut dan mahu keyakinan dalam pasaran dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan CEP di sini hari ini. Pertemuan hari ini melibatkan wakil-wakil Proton, persatuan vendor Proton, persatuan pengedar Proton Edar dan PEKEMA.