Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah.

Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan itu sudah dijangka dan tiada keperluan untuk mana-mana pihak terkejut dengan perkembangan kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Saya tidak ingin menyatakan bahawa keputusan mahkamah itu tidak tepat, tapi itulah trend selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Apabila Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng, ia sudah dijangka, dan tiada pihak patut terkejut.

“Kita rakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Kewangan di atas berita gembira ini. Atau ada lagi selain SPRM turut terkejut?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Awal hari ini Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Hadhariah Syed Ismail melepas dan membebaskan Guan Eng, 58, dan ahli perniagaan Phang Li Koon, 46 daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Ini berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim, dan Datuk V.Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hadhariah berkata, beliau tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut terkejut dengan reaksi SPRM itu sedangkan keputusan itu telah diputuskan oleh pejabat Peguam Negara.

Katanya, keputusan yang mengejutkan itu bukan pertama dilakukan mahkamah selepas PRU14 bahkan beberapa pimpinan yang sebelum ini dikenakan hukuman penjara dibebaskan serta-merta.

“Kita telah menyaksikan kes Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hanya dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM10,000 oleh Mahkamah Rayuan selepas mengetepikan hukuman 18 bulan.

“Ia diikuti pula dengan pembebasan ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa daripada tuduhan memuat naik poster palsu yang memaparkan foto Datuk Seri Najib Razak di laman sosial dua tahun lalu.

“Seterusnya, ia berlanjutan pada 3 Ogos 2018 apabila ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan aktivis Mandeep Singh dibebaskan oleh Mahkamah Majistret dari pertuduhan menyertai rali ‘kita lawan’ tiga tahun lalu,” katanya. – MalaysiaGazette