Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan Kertas Putih bagi membongkar penyelewengan yang berlaku dalam Felda pada sidang Parlimen akan datang.

Menteri Hal-Ehwan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, buat masa ini siasatan berhubung Felda masih dilakukan oleh firma audit luar.

“Kita akan bongkar kecurangan pengurusan Felda kepada 120,000 peneroka Felda hingga mengakibatkan saham Felda Global Ventures (FGV) yang didagangkan pada harga RM4.55 sesaham kini tinggal RM1.30. Orang politik sudah menjual saham-saham mereka, yang sengsara adalah peneroka.

“Sebanyak 400,000 hektar ladang Felda diletakkan dalam penyenaraian hingga Felda hilang penguasaan dalam ladang-ladang. Ini termasuk pelaburan hartanah di Melaka, Sarawak dan London dengan belian berkali ganda.

“Ini tidak amanah, tidak bertanggungjawab dan merosakkan syarikat,” katanya dalam Bicara Minda anjuran Sinar Harian.

Bagaimanapun, Azmin memberi jaminan kerajaan akan terus menyelamatkan Felda dan memberi bantuan kepada peneroka Felda agar kesejahteraan mereka dapat ditingkatkan.

“Kerajaan perlu mencari kaedah baru bagi menyelesaikannya namun semua perlu tahu hutang Felda besar,” ujar beliau.

Pada masa sama, Azmin memberitahu, beliau sendiri akan turun padang bagi menerangkan kepada peneroka Felda tentang apa yang sedang berlaku memandangkan masih ada peneroka Felda yang tidak tahu apa yang berlaku.

Azmin mengakui sedih dengan penyelewengan yang berlaku dalam institusi milik Melayu berkata, ia berlaku disebabkan masalah integriti dan tidak amanah

“Pada pandangan saya, ianya soal urus tadbir korporat yang baik. Jika pengurusan itu sarat dengan orang politik, tiada pengalaman korporat, budaya kerja beretika, ia akan merosakkan pengurusan,” tambahnya.

Disebabkan itu, Kerajaan Pakatan Harapan membuat keputusan untuk tidak meletakkan orang politik lagi dalam mana-mana institusi Melayu.

“Kita sudah letak pengurusan baru dalam Felda, Lembaga Tabung Haji dan Majlis Amanah Rakyat. Kita harap pengurusan baru ini lebih bertanggungjawab dan amanah,” katanya.

Meskipun enggan mengulas lanjut mengenai Tabung Haji, Azmin berkata, beliau simpati terhadap lembaga itu dan yakin dengan pengurusan baru, wang pendeposit lebih selamat. – MalaysiaGazette