Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap pada sidang media mengenai hutang RM1 Trillion di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Sesi Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyoal tentang kapasiti kerajaan negeri Kelantan yang dikatakan berminat untuk mengambil alih projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika dibatalkan pada masa hadapan.

Bagaimanapun, cadangan itu seolah-olah menjadi bahan ‘ejekan’ Guan Eng kerana beliau menyoal bagaimana pula kerajaan negeri Kelantan mampu berbuat demikian apabila gaji anggota perkhidmatan tidak mampu dibayar oleh mereka.

Dakwa Guan Eng, jika tidak mampu membayar gaji kakitangan mereka bagaimana pula kerajaan negeri Kelantan mampu membiayai projek yang memerlukan kos yang sangat tinggi untuk dilaksanakan.

“Kita kena lihat kemampuan negara, sekiranya kita kena belanja RM80 bilion tidak ambil kira pula membiayai untuk tempoh 20 tahun akan datang untuk pinjaman yang kita terpaksa ambil, tambah lagi kos pengurusan RM1 bilion setiap tahun akan bebankan negara.

“Ini tidak perlu dan tidak mampu dibiayai oleh negara. Bagi saya, jika kerajaan buat keputusan untuk tidak teruskan, mohon saya cakap, keputusan muktamad belum lagi di buat.

“Saya lebih suka jika projek ini digantikan dengan projek ‘Central Spine Road’ kerana ianya akan memberikan manfaat lebih baik kepada rakyat. Ini pandangan peribadi saya. Ini juga terpulang kepada Kabinet untuk membuat keputusan sebaiknya.

“Cadangan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu ingin ambil alih projek ini pula, saya ‘rasa’ saya akan tunggu surat daripada kerajaan negeri berminat untuk berbuat demikian.

“Tetapi pada masa yang sama, saya fikir bagaimana pula kerajaan Kelantan mampu mengambil alih apabila gaji anggota perkhidmatan awam pun tidak mampu dibayar oleh anda,” soalnya.

Guan Eng menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan tentang perkembangan terkini perbincangan terkini berhubung projek berkenaan ketika ini.

Jelas Takiyuddin, seandainya kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan atau membatalkan projek ECRL, mungkin boleh kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu boleh ambil alih.

Kenyataan Guan Eng yang merupakan Ahli Parlimen Bagan (PH) telah menimbulkan kekecohan untuk seketika dalam kalangan wakil rakyat BN dan Pas dalam Dewan Rakyat.

“Tolong cakap bila kerajaan Kelantan tidak mampu dan tidak bayar gaji kakitangan? Tolong jawab, jangan main tuduh-tuduh sahaja.

“Ini menyeleweng Dewan. Jangan tuduh-tuduh tanpa fakta. Minta tarik balik tuduhan ini,” kata Takiyuddin.

Bagaimanapun, Guan Eng tidak menjawab desakan mana-mana pihak untuk menarik balik atau memberikan fakta lebih tepat berhubung dakwaan tidak membayar gaji itu. – MalaysiaGazette