Datuk Shamsubahrin Ismail
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media mengenai tindakan biadab pemandu teksi kepada Perdana Menteri di Wisma Central, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan didesak menarik balik lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) terhadap 10 pemandu teksi berkelakuan biadab kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi, semalam.

Penasihat syarikat pengendali teksi Big Blue Capital Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail menegaskan, ia bagi membersihkan imej industri teksi yang tercemar akibat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pemandu.

“Dalam industri teksi, 99 peratus pemandu-pemandu teksi di negara ini merupakan pemandu yang tidak biadab, yang tidak kurang ajar, yang menghormati orang tua dan muda.

“Hanya satu peratus saja yang biadab dan mecemarkan industri teksi.

“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat sepatutnya mengambil tindakan tegas menarik balik lesen pemandu yang biadab dan kurang ajar mencemarkan nama industri teksi

“Jangan kerana 10 orang ini, satu industri rosak. Kita tidak menyokong 10 pemandu teksi yang biadab di Langkawi atau mana-mana pemandu teksi yang biadab,” katanya pada sidang media di Wisma Central, di sini, hari ini.

Beliau mengulas majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi semalam yang kecoh seketika apabila 10 ahli persatuan bertindak biadab keluar majlis sambil berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan e-hailing, Grab.

Pemandu teksi terbabit berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar selepas Perdana Menteri memberi jaminan akan terus mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi manfaat semua pihak.

Shamsubahrin juga berkata, 10 pemandu teksi biadab itu didalangi oleh UMNO yang mendapat bayaran untuk menimbulkan kekecohan dalam majlis bersama pemimpin negara itu.

“10 orang pemandu teksi ini adalah penyokong BN iaitu UMNO di mana mereka tidak boleh menerima atas penukaran kerajaan.

“Mereka (10 pemandu teksi) semalam yang buat hal itu orang UMNO, mereka dibayar oleh UMNO,” dakwanya lagi. – MalaysiaGazette