KUALA LUMPUR – ARMADA selaku sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyelar kenyataan Senator P. Waytha Moorthy untuk meratifikasikan ICERD (International Convention On The Elimination of All Forms of Racial Discrimination).

Exco ARMADA Nasional, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang menyebut menyebut beberapa klausa dalam perlembagaan mungkin perlu dirombak, agar tidak memberi kerisauan kepada masyarakat bumiputera.

“Mewakili ARMADA, saya memberikan amaran awal kepada Waytha Moorthy supaya janganlah menyentuh artikel atau perkara yang sensitif dan selama ini menjadi tunjang keharmonian negara.

“Perkara 3, Perkara 153, 160 dan sewaktu dengannya perlu kekal biarpun kita maklum bahawa selagi ada langit dan bumi dan selama mana Majlis Raja-Raja tidak menghancurkan mereka sendiri, perihal ini tidak mampu diganggu gugattetapi jangan ada sedikitpun cubaan untuk menyentuh perkara-perkara tersebut walau apa cara sekalipun,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Waytha Moorthy yang kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan hari ini.

Tegas Mohd. Ashraf lagi, tidak kira siapa, asas yang membentuk Perlembagaan yang menjadi natijah kontrak sosial dan akar penyatuan setiap bangsa tetap perlu dipelihara. Jangan sekadar kita mengejar kulit tetapi isinya kosong! Tidak guna kita mengejar sesuatu yang dikatakan ‘polisi’ tetapi hakikatnya kita telah trigger button yang boleh menyebabkan lagi perpecahan.

“Banyak negara di Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) kononnya mempunyai polisi yang memberi kesaksamaan dan tidak menggalakkan rasisme namun lihat adakah Malaysia sama seperti AS dan Eropah sehingga ada yang sanggup bunuh-membunuh kesan dari perkauman melampau? Kita memerlukan acuan kita sendiri, bukan hanya mengikut telunjuk ‘orang luar’ yang nak mengajar kita tentang sesuatu dan merasakan mereka lebih baik dari kita,” katanya lagi.

Mewakili Biro Pendidikan ARMADA, Mohd. Ashraf bertanya kepada Waytha Moorthy, adakah beliau bersedia untuk memastikan semua sekolah vernakular ditutup dan adakah dasar afirmitif untuk membantu kaum tertentu selain bumiputera perlu diabaikan?

“Jika kita mampu menjadikan pendidikan dengan menutup semua sekolah vernakular sebagai asas integrasi nasional dan wadah ratifikasi ICERD terlebih dahulu, maka semestinya kita mampu melihat jangkauan lebih besar. Jika tidak, kembalilah kepada realiti dan fokus kepada acuan kita! Memastikan keharmonian terbela dan rasisme terhakis,” katanya.- MalaysiaGazette

Kerajaan ratifikasi enam triti hak asasi suku pertama tahun depan