Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan bahawa wujud sindrom penafian berkaitan unsur-unsur sabotaj di dalam pemilihan parti itu sebagaimana didakwa Ketua Wanita parti itu Zuraida Kamaruddin.
Laporan berita yang memetik ucapan daripada Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail berkaitan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi “Enhanced Malaysia International Internet Gateway” (EM-IIG) yang dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd adalah tidak benar.

JULAU – Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan bahawa wujud sindrom penafian berkaitan unsur-unsur sabotaj di dalam pemilihan parti itu sebagaimana didakwa Ketua Wanita parti itu Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata tidak terdapat isu penafian di dalam parti dan beliau mahukan supaya semua pihak tidak cuba untuk membayangkan bahawa parti itu bermasalah.

“Tidak ada penafian. Kalau ada sesuatu kita akan ambil tahu,” katanya kepada pemberita semasa melawat Rumah Rengayan Anak Ngumbang di Nanga Ruyak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zuraida pada akhir bulan lepas yang berkata pucuk pimpinan parti perlu bangkit daripada sindrom penafian dan memandang serius kemungkinan wujud unsur sabotaj pada Pemilihan PKR 2018.

Zuraida yang bertanding jawatan naib presiden berkata isu berkenaan memerlukan penyelesaian segera secara tuntas kerana boleh merosakkan keseluruhan sistem pemilihan.

Dr Wan Azizah berkata beliaut mahu pemilihan PKR dijalankan secara bersih dan adil, termasuk tidak menggunakan sebarang jentera kerajaan atau jawatan di dalam kerajaan yang boleh menimbulkan rasa takut terhadap anggota parti di dalam membuat pilihan secara demokratik.

“Kita mahukan agar pemilihan ini dijalankan secara lancar di mana semua ahli boleh membuat pilihan masing-masing secara bebas.

“Biarlah ia dijalankan secara sihat tanpa menggunakan jentera kerajaan kerana ada di antara mereka yang bertanding adalah (memegang jawatan) di dalam kerajaan. Ini supaya calon-calon dapat bertanding di atas padang yang sama rata,” katanya.

Beliau juga berkata kemuncak pemilihan parti itu akan diadakan pada 10 Nov di 29 Cabang di Sarawak.

Dr Wan Azizah mengakui terdapat masalah capaian internet bagi pengundian yang dijalankan secara dalam talian di beberapa cabang seperti Julau yang hanya mempunyai capaian 10 peratus sahaja.

“Kita (akan) adakan kongres dan kita mahukan agar pemilihan dijalankan mengikut jadual,” katanya.

Katanya beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti untuk menentukan penangguhan pemilihan apabila berlaku masalah teknikal.

Terdahulu, Dr Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi pembinaan jalan ke Rumah Rengayan yang mempunyai kira-kira 200 penduduk.

— BERNAMA