Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap kerajaan memberi pertimbangan semula terhadap kaedah dan kadar terbaharu pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN).

Jelasnya, beliau akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat jemaah menteri esok.

Menurut Syed Saddiq, beliau maklum mengenai rungutan-rungutan terutama daripada anak-anak muda berhubung pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi baharu PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, semalam.

Katanya, keadilan perlu diberikan kepada peminjam-peminjam terutamanya yang tidak pernah culas membuat pembayaran setiap bulan hasil kesepakatan dengan PTPTN selama ini.

“Walaupun kita tahu hutang wajib dibayar tetapi kita mahukan pembayaran yang lebih adil khususnya kepada anak-anak muda yang selama ini membuat pembayaran (dengan baik), patuh kepada syarat dan membuat pembayaran menepati masa selepas mereka berunding dengan PTPTN,” katanya melalui satu video yang dimuat naik di laman Instagramnya hari ini.

Sebelum ini, PTPTN memberikan khidmat rundingan kepada para peminjam dan membenarkan mereka untuk mengatur jumlah dan had tempoh pembayaran mengikut persetujuan kedua-dua pihak.-MalaysiaGazette

TERKINI : “Yuran Pentadbiran PTPTN Tidak Dimansuhkan” – Wan Saiful

Anwar akan bincang dengan menteri keresahan kaedah bayaran balik PTPTN

Yuran pentadbiran PTPTN tidak dimansuhkan

Potongan PTPTN bermula 1 Januari 2019 – Maszlee