Salahuddin Ayub
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media mengenai beberapa isu termasuk kenaikan harga telur ayam pada sesi Dewan Negara di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan harga telur ayam sudah kembali stabil dan pengguna tidak perlu gusar menghadapi ketibaan musim perayaan seperti Krismas dan Tahun Baharu Cina.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mendedahkan ada kebenaran berhubung wujud kebimbangan berikutan kenaikan harga telur di utara Semenanjung.

Jelas Salahuddin, berlaku kenaikan harga telur ayam sebanyak 2 sen (Gred C) di peringkat ladang daripada 38 sen kepada 40 sen sebiji sejak November lalu.

“Kita di bahagian Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati faktor penyumbang kenaikan telur ayam kerana beberapa faktor.

“Ini termasuk berlakunya masalah penyakit ayam yang sebelum ini saya pernah sebut terjadi kerana selsema burung. Tolong betulkan, ianya bukan penyakit selesema burung, sebaliknya penyakit ayam yang biasa berlaku.

“Berikutan penyakit ini di beberapa ladang di utara Semenanjung sehingga menyebabkan kematian ayam yang tinggi, sekali gus tidak dibenarkan menjual ayam sehingga siasatan (dilakukan).

“Ini menyebabkan pengurangan bekalan telur ayam sehingga 3 peratus, namun demikian selepas siasatan makmal dapat sahkan tiada sebarang jangkitan.

“Selain itu, kadar tukaran wang asing dolar AS berbanding ringgit yang berada pada RM3.86 pada bulan April 2018 meningkat kepada RM4.18 November lepas. Ini juga telah memberi kesan kepada kenaikan bahan makanan ternakan sehingga memberi kesan kepada kenaikan harga telur diladang sebanyak 5 peratus.

“Tapi kini anda tidak perlu gusar kerana kita telah mengambil beberapa tindakan sehingga dapat menstabilkan harga bekalan telur kembali ketika ini. Tidak perlu khuatir terutamanya ketika musim perayaan ini,” katanya pada sidang media di Parlimen sebentar tadi.

Salahuddin menambah, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) pada 14 Disember lepas.

“Pihak pengeluar ayam telah bersetuju atas cadangan Kementerian untuk mengurangkan harga telur di peringkat ladang sebanyak 2 sen bagi menstabilkan kembali harganya di pasaran selain memastikan bekalan telur mencukupi ketika musim perayaan ini.

“Kita akan terus jalankan pantauan penyakit untuk memastikan ayam tidak berjangkit supaya telur yang dikeluarkan adalah selamat dimakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Salahuddin juga mendedahkan penyiasatan dan ujian makmal ke atas kes-kes yang disyaki selsema burung pada awalnya telah menunjukkan ladang-ladang itu bebas daripada jangkitan virus avian H5 dan H7 (selsema burung). -MalaysiaGazette