Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengembalikan keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mengenakan denda RM10 juta, masing-masing ke atas Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Bhd kerana melanggar larangan perkongsian pasaran di bawah Akta Persaingan 2010.

Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan bahawa keputusan oleh Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) yang membenarkan rayuan oleh MAS dan AirAsia untuk mengetepikan denda RM10 juta yang dikenakan oleh MyCC merupakan satu kesilapan undang-undang dan tidak wajar.

“Dalam keadaan itu, keputusan responden pertama (CAT) diketepikan dan keputusan pemohon (MyCC) dikembalikan,” katanya dan mengarahkan kedua-dua syarikat penerbangan tersebut, masing-masing membayar kos RM10,000 kepada MyCC selaku pemohon.

Nordin juga memutuskan (CAT) gagal mempertimbangkan perjanjian kerjasama yang ditandatangani antara kedua-dua syarikat penerbangan berhubung perkongsian pasaran dalam sektor perkhidmatan pengangkutan udara yang telah menjejaskan persaingan.

Beliau juga berkata bahawa pemohon mempunyai “locus standi” untuk memulakan permohonan semakan kerana tindakan tersebut difailkan oleh MYCC sebelum penubuhan Mavcom dan oleh itu hak pemohon untuk memulakan semakan kehakiman tidak terjejas.

Terdahulu, peguam Datuk Lim Chee Wee yang mewakili MyCC meminta MAS dan AirAsia membayar denda RM10 juta itu dalam tempoh tujuh hari tetapi Nordin berkata tempoh itu terlalu singkat dan meminta kedua-dua pihak berhujah mengenai perkara itu.

Mahkamah kemudian tidak menetapkan sebarang kerangka masa untuk MAS dan AirAsia membayar denda.

Di luar mahkamah, peguam Leonard Yeoh yang mewakili AirAsia memberitahu pemberita bahawa syarikat itu tidak berpuas hati dengan keputusan hari ini dan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

MyCC memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan CAT sebagai responden pertama sementara Malaysian Airlines System Berhad dan AirAsia Berhad dinamakan sebagai responden kedua dan ketiga.

MyCC memohon untuk membatalkan keputusan CAT pada 4 Feb, 2016 yang membenarkan rayuan oleh MAS dan AirAsia untuk mengetepikan denda RM10 juta yang dikenakan olehnya (MyCC) kerana melanggar larangan perkongsian pasaran di bawah Akta Persaingan 2010.

MAS dan AirAsia telah merayu terhadap keputusan MyCC pada 11 April 2014 yang mendapati kedua-dua syarikat penerbangan itu telah melanggar larangan perkongsian pasaran di bawah Seksyen 4 (2) (b) Akta berkenanan dengan memeterai perjanjian yang menyaksikan kedua-dua syarikat penerbangan itu berkongsi pasaran dalam sektor perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia.

MyCC mempunyai kuasa untuk mengenakan denda ke atas kedua-dua syarikat penerbangan itu 10 peratus daripada pendapatan global mereka kerana melanggar Akta, tetapi mengenakan penalti yang jauh lebih ringan kerana kedua-dua syarikat penerbangan memberi kerjasama semasa siasatan.

Denda RM10 juta oleh MyCC adalah berdasarkan kepada penerbangan yang dikendalikan oleh AirAsia Bhd dan MAS dalam tempoh empat bulan antara 1 Jan dan 30 April, 2012, di laluan merangkumi Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Kuching, Kuala Lumpur-Sandakan, dan Kuala Lumpur-Sibu. – MalaysiaGazette