Sebahagian pegawai bomba memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya selepas proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). foto SYAFIQ AMBAK 18 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Walaupun sebelum ini, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman, Seafields pernah membuat dakwaan bahawa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dilanggar trak bomba dan bukannya dipukul.

Namun hari badan tersebut berubah nada dengan mengatakan dakwaan itu hanya bersifat lontaran persoalan dan bukannya muktamad dari pihak Kuil.

Pengerusi Badan Kuil itu, SW Ramaji turut melahirkan rasa kesal dan memohon maaf kepada keseluruhan rakyat Malaysia khasnya keluarga Adib yang kini sedang berduka lara.

“Niat sebenar saya ketika sidang media pada 27 November lepas hanya mahu pihak berkuasa menyiasat mungkin ada kemungkinan beliau telah dilanggar trak bomba.

“Kenyataan itu bukan untuk menyakiti mana-mana pihak terutamanya keluarga Adib. Saya tidak pernah mempunyai niat sedikitpun untuk menyakiti perasaan keluarga Adib, kawan atau sesiapa sahaja dengan meminta polis menyiasat rakaman video trak itu.

”Sekiranya saya telah menyakiti perasaan mereka, saya tidak kesal untuk meminta maaf kepada keluarga yang mengalami kedukaan kerana kehilangan seorang anak yang berkhidmat dengan dedikasi,” katanya.

Ramaji berkata demikian seperti dilaporkan portal MalaysiaKini selepas desakan pelbagai pihak yang mahu pengurusan kuil untuk memohon maaf atas dakwaan sedemikian.

Pihak berkuasa sebelum ini telah menegaskan Muhammad Adib yang juga merupakan bomba telah di heret keluar daripada kenderaan sebelum dibelasah beramai-ramai ketika meruncing berhubung perobohan serta penempatan berusia lebih 100 tahun itu.

Ramaji juga tidak semena-mena memuji Adib dengan mengatakan anggota muda itu sebagai seorang lelaki yang baik kerana telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia.

“Apa yang berlaku pada 26 November lepas pada awal pagi dan hari berikutnya di kuil kami adalah satu detik hitam yang sukar di lupakan.

“Insiden itu tidak sepatutnya berlaku. Tidak ada sesiapa yang boleh dan sepatutnya membenarkan detik-detik yang memalukan itu.

“Saya ikhlas menyesal dengan apa yang berlaku, apa yang berlaku kepada Adib. Saya berdoa keadilan itu dapat di tegakkan dalam apa cara sekalipun,” ujarnya. -MalaysiaGazette