Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk membuat siasatan (inkues) bagi menentukan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inkues itu dibuat oleh Peguam Negara selaku pendakwa raya di bawah Seksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah dan di bawah Bab XXXII kanun yang sama.

“Siasatan pihak polis melalui rakaman percakapan saksi-saksi, lakonan semula (re-enactment) dan juga hasil bedah siasat yang telah dilakukan oleh pihak forensik patalogi telah menemukan dapatan tertentu mengenai sebab kematian allahyarham yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin, pihak pendakwaraya akan memohon kepada mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu Majistret berkenaan dalam menjalankan inkues tersebut.

Di dalam prosiding inkues itu, majistret akan mempunyai kuasa yang luas di bawah seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian termasuk mempertimbangkan bagaimana allahyarham menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh orang lain.-

Allahyarham Muhammad Adib seorang ahli bomba yang menjadi mangsa rusuhan di kuil di Seafield baru-baru ini.

Semalam Sinchew Daily melaporkan inkues melalui Mahkamah Koroner mungkin dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian Muhammad Adib yang terbunuh dalam kejadiian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues mungkin dijalankan ke atas kematian Muhammad Adib

Memetik sumber, akhbar itu mengatakan, walaupun ramai pihak menyatakan Muhammad Adib telah dipukul dan polis telah menahan lebih seratus orang untuk membantu siasatan, tetapi tiada seorang pun yang nampak mangsa dipukul semasa kejadian.

Menyulitkan keadaan,  doktor yang melakukan bedah siasat juga mendapati kecederaannya berlainan dengan keadaan biasa orang yang dipukul.

Dalam keadaan demikian, polis mungkin memilih untuk melakukan inkues bagi mengenal pasti punca kematian Muhammad Adib. – MalaysiaGazette