JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memandu sendiri Proton Saga edisi pertama yang dihadiahkan kepada almarhum ayahanda baginda pada tahun 1985 untuk menghantar Tun Dr Mahathir Mohamad ke Lapangan Terbang Senai.

Sultan Ibrahim memandu Proton berusia 34 tahun berwarna biru itu selepas selesai menerima mengadap perdana menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Istana Bukit Serene di sini.

Ia merupakan kunjungan rasmi pertama Dr Mahathir sejak menjadi Perdana Menteri pada Mei tahun lalu.

proton2
Proton Saga edisi pertama yang dipandu sendiri oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskadar ketika menghantar Tun Dr Mahathir Mohamad ke Lapangan Terbang Senai.

Beliau dan isteri tiba kira-kira jam 3.00 petang dan disambut oleh Tuanku Sultan Ibrahim serta Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Hantaran terbaharu Facebook Sultan Ibrahim memaklumkan turut berangkat pada pertemuan itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Binti Bustamam.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Dato’ Osman Sapian; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani dan Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Dato’ Abdul Rahim Ramli.

Tuanku Sultan Ibrahim meluangkan masa lebih satu jam bersama Dr Mahathir membincangkan pelbagai perkara sebelum Perdana Menteri pulang ke Kuala Lumpur.  – MalaysiaGazette