Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Salah satu keutamaan mendesak dalam negara ini ialah merangka penyelesaian untuk memastikan graduan mendapat pekerjaan setimpal dengan kelulusan dan kemahiran, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, setiap kali bercakap mengenai masalah graduan menganggur, pelbagai sentimen dan polemik akan mengalihkan tumpuan dari mencari penyelesaian.

“Masing-masing ada pandangan dan kebanyakan pandangan itu tidak menyelesaikan masalah,” katanya dalam status yang dimuatnaik menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Katanya, antara polemik paling biasa didengari ialah sikap graduan masa kini yang terlalu memilih, malas dan kurang berkemahiran.

Selalunya kata beliau, polemik itu akan bertukar menjadi serangan perkauman, iaitu yang Melayu menuduh bukan Melayu melaksanakan diskriminasi kerja untuk tidak mengambil graduan Melayu bekerja, manakala bukan Melayu pula ada saja yang merendahkan mutu graduan Melayu.

“Jenis yang suka mencari titik perkauman dalam semua perkara ini ada di mana-mana. Sebenarnya mereka adalah minoriti yang kecil.

“Majoriti rakyat Melayu dan bukan Melayu lebih pentingkan penyelesaian kepada masalah ini.

“Sebagai majikan sendiri, ada benar dan tidak benarnya pandangan mengenai mutu graduan masa kini. Ada yang tidak bersedia semasa datang temuduga, ada yang tidak bersungguh-sungguh semasa menghantar permohonan,” katanya.

Tetapi, kata Rafizi, ada juga yang benar-benar bermutu dan menjadi tenaga kerja yang baik, walaupun pada asalnya tiada pengalaman.

Menurut beliau lagi, graduan menganggur adalah masalah ekonomi yang melibatkan sistem dan fokus yang boleh dikurangkan kesannya dengan kerangka penyelesaian yang baik.

Ujarnya, untuk menyelesaikan masalah ekonomi, pendekatan mestilah bersifat ilmiah dan disandarkan kepada angka yang tepat.

“Malangnya, agak sukar mencari satu angka yang tepat dan benar-benar menggambarkan keadaan sebenar pengangguran graduan di negara ini.

“Statistik terbaik adalah dari Jabatan Statistik Malaysia mengenai jumlah kekosongan jawatan setiap suku tahun, jumlah pekerjaan baru yang diwujudkan dan jumlah kekosongan yang dipenuhi.

“Setakat ini, statistik ini hanya ada untuk dua suku iaitu setakat S4 2017 dan S2 2018. Pun begitu, ia memberi sedikit gambaran untuk kita menjawab soalan penting: adakah betul-betul tiada pekerjaan, atau graduan yang dihasilkan tidak sesuai atau tidak berkemahiran dengan kekosongan atau pekerjaan baru yang diwujudkan,” katanya. – MalaysiaGazette