Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membuat tinjauan di kaunter-kaunter ketika mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Kelana Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 JANUARI 2019

PETALING JAYA – Malaysia menolak cadangan Singapura untuk melanjutkan tempoh penggantungan mewujudkan Kawasan Larangan (RA) kekal di ruang udara Pasir Gudang sehingga 31 Mei tahun ini.

Menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya bersetuju jika tempoh penggantungan tamat pada 31 Mac, iaitu dua bulan awal daripada cadangan Singapura.

Perubahan cadangan itu kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah dimaklumkan kepada Singapura hari ini.

“Saya laporkan kepada kabinet semalam tapi Perdana Menteri kata tempoh itu sedikit panjang dan minta kita pendekkan tempoh itu.

“Saya telah hubungi pesuruhjaya di Singapura supaya tempoh itu kita pendekkan ke 31 Mac, itu cadangan dari pihak kita,” katanya kepada pemberita di pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Kelana Jaya hari ini.

Anthony berharap agar Kementerian Pengangkutan di republik itu akan bersetuju dan tindakan selanjutnya perjanjian mengenai tempoh penggantungan itu akan dimeterai.

“Saya harap dan terpulang Singapura sama ada bersetuju atau tidak. Kalau bersetuju, kita adakan perjanjian berkenaan tempoh penggantungan. Itu hanya cadangan dulu belum muktamad lagi,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan dilaporkan berkata, cadangan lanjutan tempoh penggantungan berkenaan adalah bagi membolehkan lebih banyak perbincangan rasmi dapat dilakukan kedua-dua negara untuk menyelesaikan perkara itu.- MalaysiaGazette