Datuk Mohd Kamaruddin Md Din

KUALA LUMPUR – Polis menjalankan siasatan penuh terhadap satu rakaman video yang memaparkan tindakan seorang lelaki melakukan peras ugut dengan menunjukkan senjata api.

Video tersebut yang tular di laman sosial menunjukkan lelaki terbabit dengan berani mengaku mempunyai kaitan dengan seorang pegawai polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, pihaknya akan memastikan tindakan tegas dapat diambil ke atas pelaku pada video tersebut.

“Polis Johor maklum mengenai perkara ini yang mana telah mencemarkan imej dan nama baik polis sendiri. Siasatan menyeluruh akan dilakukan.

“Tindakan undang-undang juga akan diambil jika terdapat sebarang salah guna kuasa melibatkan sebarang pegawai kanan atau pegawai polis Kontinjen Johor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Kamaruddin turut menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu dapat terus melaporkannya kepada pihak polis.

Sebelum ini, sebuah video berdurasi 2 minit 32 saat telah memaparkan kelakukan mengugut suspek terhadap seorang lelaki di sebuah tempat letak kereta yang loaksinya belum diketahui.

Menerusi audio pada rakaman itu, lelaki berkenaan dilihat berang selepas individu yang diugut itu tidak mahu membayar wang. – MalaysiaGazette