Donald Trump. foto CNN

WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata, beliau boleh mempertimbangkan rundingan perjanjian perdagangan dengan China dilanjutkan daripada tarikh 1 Mac ini.

Bagaimanapun, beliau cenderung untuk tidak berbuat demikian dan menjangka untuk bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping untuk memuktamadkan perjanjian.

Amerika Syarikat akan meningkatkan tarif sebanyak AS$200 bilion bagi barangan import dari China yang dijadualkan sebanyak 25 peratus berbanding 10 peratus jika kedua-dua kuasa besar ekonomi dunia itu gagal memuktamadkan kata sepakat pada 1 Mac ini.

Kenaikan itu dibimbangi kerana akan meningkatkan kos bagi pengguna elektronik hingga pertanian.

Sebelum ini, penasihat-penasihat Trump menyifatkan tarikh 1 Mac itu sukar dicapai.

“Sekiranya kita hampir untuk capai kesepakatan, yang mana kita fikir kita boleh membuat perjanjian yang sebenar dan ia akan dilakukan, saya tidak ada masalah untuk melanjutkan tarikh tersebut.

“Tetapi pada umumnya, saya tidak cenderung untuk berbuat demikian,” katanya di White House.

Ahli-ahli perniagaan dan pembuat dasar Amerika Syarikat telah melahirkan harapan supaya tarikh itu dilanjutkan ketika kedua-dua pihak sedang menangani permintaan sukar Washington untuk perubahan polisi struktur oleh China.

Amerika Syarikat mensasarkan untuk mengakhiri pemindahan secara paksa rahsia perdagangan Amerika Syarikat, membendung  perindustrian subsidi Beijing dan menguatkuasakan hak harta intelek. – MalaysiaGazette