Dr. Michael Jeyakumar
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Michael Jeyakumar bercakap pada sidang media mengenai skim Insurans MySalam sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Flat Kos Rendah Seri Permai, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempersoalkan sama ada skim Perlindungan Nasional B40 atau skim mySalam yang merupakan skim yang menyumbang kepada rakyat ataupun  skandal kesihatan yang menjaga perniagaan syarikat terbabit.

Skim yang menyediakan perlindungan takaful kepada golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan 3.69 juta orang berumur 18 hingga 55 tahun dijangka menerima manfaat itu melibatkan sumbangan permulaan sebanyak RM2 bilion daripada Great Eastern Life.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar berkata, syarikat insurans berkenaan akan memiliki data 3.69 juta orang dalam golongan B40 dan data tersebut berisiko disalahgunakan bagi tujuan pengkomersialan produk tambahan syarikat terbabit.

“Kita nak tanya kepada kerajaan PH kenapa ia dilakukan tanpa pengetahuan mana-mana pihak berkepentingan langsung dalam soal skim mySalam ini.

“Kami rasa bukan sahaja PSM, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), beberapa NGO kesihatan, serta Kementerian Kesihatan juga rasanya tak diajak dan dibincangkan mengenai skim itu sebelum dilancarkan PM (Perdana Menteri),” katanya pada sidang media di Apartmen Kos Rendah Seri Permai di Semenyih hari ini.

Turut bersama calon PSM untuk Pilihan Raya Kecil Semenyih, Nik Aziz Afiq Abdul.

Michael berkata, sehingga kini kerajaan tidak mahu melayan kesediaan PSM untuk berjumpa dan membincangkan skim baharu itu walaupun surat dan memorandum telah diserahkan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurutnya, sistem pembiayaan kesihatan negera dilihat menuju ke aras sistem yang digunapakai di Amerika Syarikat (AS) yang tidak efisien.

Tambah beliau, daripada melaksanakan skim kesihatan itu adalah lebih baik kerajaan mewujudkan tabung yang bermatlamat membeli peralatan perubatan seperti skru plat besi (untuk tulang), kanta lekap mata atau stapler pembedahan usus yang kini terpaksa ditanggung sendiri oleh pesakit.

Jelas beliau, sekiranya kerajaan masih mahu menggunakan kaedah insurans untuk membiayai kos rawatan perubatan rakyat miskin, maka sistem insurans kesihatan harus dirombak kepada insurans kesihatan sosial.

“Menerusi insurans kesihatan sosial, ia boleh dilaksanakan oleh sebuah lembaga yang tidak berasaskan keuntungan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perlindungan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan caruman bernisbah tetap pendapatan setiap keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette