Azhari Shaari
Azhari Shaari

KUALA LUMPUR – Mood sokongan dalam kalangan rakyat terutama kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semakin berubah dan condong kepada calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari ketika memberi pandangannya mengenai PRK DUN Semenyih berkata, sokongan itu didorong oleh kefahaman rakyat berhubung isu yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH).

Katanya, hampir seminggu kempen berlangsung, pelbagai aktiviti kempen dijalankan oleh BN untuk memastikan momentum kemenangan di PRK Cameron Highlands baru-baru ini ‘berjangkit’ di Semenyih pula.

“Bila ditanya oleh pelbagai pihak peluang Zakaria untuk menang, saya merasakan mood sokongan dalam kalangan rakyat semakin berubah untuk menyokong calon BN.

“Saya berani mengatakannya memandangkan rakyat mula memahami isu yang dibawa PH adalah bersifat dakwaan semata-mata. Kes yang melibatkan mahkamah biarlah sistem kehakiman yang menentukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhari menyatakan, dalam kempen, BN menerangkan segala isu dengan jelas agar tidak timbul persepsi negatif kepada parti dan naratif yang disampaikan pula bukan bersifat retorik, tetapi memberikan input berdasarkan data serta fakta.

Sebagai contoh, katanya, parti menekankan dalam kempen bahawa BN adalah kerajaan yang mengutamakan kebajikan dan tidak meletakkan syarat ketat untuk memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Awal Persekolahan.

“Kisah seorang penerima BR1M bujang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tular kerana tidak layak mendapat Bantuan Sara Hidup (BSH) membuktikan selama ini BN prihatin membantu rakyat tanpa menyusahkan mereka.

“Hari ini rakyat sedar negara tidak akan bankrap kerana menolong rakyat dengan belanja berbilion ringgit. Sudah terbukti kempen ketika PRU yang lalu sedikit demi sedikit memakan diri pihak PH,” katanya.

Sehubungan itu, Azhari menggesa pengundi DUN Semenyih bangkit membuktikan kepada PH mereka tidak akan tertipu lagi.

“Undilah calon BN yang diuji Allah keretanya disimbah cat entah oleh siapa semalam. Sampaikan mesej negara bankrap takkan mampu membina hospital dan memberi bajet untuk sekolah swasta,” ujarnya. – MalaysiaGazette