Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – “Nak jelaskan apa lagi kepada MCA? Siapa mereka..saya tak tahu”.

Demikian penjelasan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang tidak memahami perangai MCA yang mendakwa kononnya beliau perlu disiasat di bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mahu sekolah vernakular Cina dan India perlu ditutup.

Setiausaha Agung BN itu dalam sidang media petang ini menafikan pernah mengeluarkan kenyataan seumpama itu seperti yang dilaporkan sebuah portal media tempatan terkemuka semalam.

“Saya nafi sekeras-kerasnya kenyataan kononnya mahu sekolah vernakular Cina dan Tamil ditutup di negara ini.

“Dalam ucapan saya di Beranang kempen PRK Semenyih baru-baru ini saya kata, kalau sekiranya orang-orang bukan bumiputera mempertikai hak istimewa bumiputera, maka nanti pula orang bukan bumiputera juga akan dipertikaikan termasuk tutup sekolah vernakular, tengoklah ucapan itu.

“Tapi dia (media) ambil ayat menutup sekolah vernakular hujung sahaja.. ucapan itu daripada segi ayat saya kata jangan pertikai kita punya hak (Melayu) kena hormat hak. Itu kenyataan saya.

“Kalau hari ini katakan Datuk Seri Nazri mahu sekolah vernakular itu ditutup, itu satu tuduhan tidak berasas tehadap saya,” katanya sebagai menafikan laporan yang disiarkan dalam MalaysiaKini.

Tambah beliau, jika beliau mahu, sudah lama beliau mengusahakan ke arah penutupan sekolah vernakular ketika kerajaan lama dahulu lagi tetapi tidak pernah berniat sebegitu.

“Kalau tengok balik rekod 18 tahun sebagai menteri kabinet, saya tidak pernah mencetuskan isu sebegitu dan saya dianggap Melayu liberal,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan apa yang dilaporkan yang menyatakan beliau mahu menutup sekolah vernakular berkenaan adalah satu tindakan terdesak.

Mungkin untuk sengaja mendatangkan kemarahan supaya pengundi Semenyih tidak mengundi BN, katanya.

Beliau menjelaskan di negara ini semua masyarakat mempunyai hak istimewa yang perlu dilindungi perlembagaan dan tidak boleh dipertikaikan sesiapa pun.

Katanya, bumiputera tentu ada hak hak keistimewannya dan antaranya Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu, kuota tertentu dalam perkhidmatan awam dan juga hak-hak kaum bumi di Sabah Sarawak juga dipertahankan.

“Untuk bukan bumiputera soal kewarganegaraan, perlindungan kepada budaya mereka termasuk adat resam, bahasa ibunda dan agama terlindung dan ini adalah hak mereka termasuk sekolah vernakular pendidikan tidak boleh dipertikaikan,” katanya lagi.

Ditanya sebarang tindakan ke atas pihak yang mencetuskan isu sebegitu, Mohamed Nazri tidak berniat untuk bertindak dan memaafkannya tetapi ia juga diperjelaskan kepada parti komponen BN seperti MIC serta mesra BN, Kimma, IPF dan Makkal Sakti.

Ditanya apakah MCA akan dijelaskan mengenai vernakular, beliaui menegaskan, tidak ada keperluan beliau menjelaskannya kepada MCA.

“Saya tak tahu pasal MCA, siapa mereka sebenarnya? Dia sebenarnya perlu jelaskan kami kenapa dia berperangai begitu.

“MCA masih komponen BN ke? Saya tidak tahu.. sebab mereka tak mahu pakai baju biru BN dan mahu dibubarkan..apabila rakan parti tidak setuju mengikut konsensus BN, maka gesaan itu ditolak.

“Kalau kamu nak tinggalkan boleh je.. tengok seperti Gerakan dan beberapa komponen lama sudah tinggalkan BN..

“Kelibat dia tak nampak di PRK, Balakong pun dia berkecuali. so kalau nak tinggalkan BN, biarlah. Saya tak pedulikan mengenai mereka (MCA).

“Hari ini bila saya turun kempen ke (PRK) Semenyih IPF, Kimma UMNO bersama saya ambil berat tentang mereka sahaja, jadi apa MCA kata itu semua saya tak kisah dan tidak peduli.. Bagi saya PRK ini dan PRK Rantau lagi penting untuk menang,” katanya. – MalaysiaGazette