Sebahagian penduduk PPR Taman Manggis yang diusir keluar.

GEORGETOWN – Kerajaan negeri membenarkan semua penduduk yang diusir dari rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini, kembali mendiami kediaman masing-masing.

Exco Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Afif Bahardin, berkata, mereka bagaimanapun hanya dibenarkan mendiami unit berkenaan selama tiga hari, bermula hari ini.

Katanya, keputusan berkenaan dimuktamadkan selepas mengadakan perbincangan bersama EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo dan Pejabat Perumahan kerajaan negeri.

“Kita masih belum ada keputusan sama ada mereka perlu keluar semula daripada unit masing-masing selepas tempoh kebenaran tamat, iaitu pada Ahad ini.

“Pada masa sama, kita sedang berbincang mengenai pelan tindakan lanjut yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini,” katanya seperti yang dilapor BH Online.

Sebanyak enam keluarga membabitkan hampir 40 isi rumah diusir dari unit kediaman masing-masing di PPR Taman Manggis di sini, dan berteduh di KOMTAR, sejak jam 12 tengah malam kelmarin.

Semua berteduh di pekarangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri selepas hilang tempat berlindung, selain ada yang menumpang di surau ekoran arahan pengusiran dikeluarkan Kerajaan Pulau Pinang. – MalaysiaGazette