Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri dijangka membuat keputusan mengenai pemansuhan hukuman mati dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan membuat keputusan yang “sederhana” dalam isu itu.

Katanya, pendekatan “berperingkat” juga akan dilakukan dengan mengambil kira perasaan ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam kes jenayah.

Beliau berkata, terdapat tiga pilihan dalam soal pemansuhan hukuman mati dan pemansuhan secara menyeluruh melibatkan semua jenayah termasuk bunuh dan pengedaran dadah hanya salah satu pilihan yang ada.

“Pilihan kedua adalah menghapuskan hukuman mati mandatori. Ini bermakna hakim boleh membuat keputusan untuk kes bunuh dan pengedaran dadah mengikut pertimbangan berdasarkan kes.

“Selain itu, kita juga ada pilihan ketiga iaitu hanya menghapuskan hukuman mati untuk kes pengedaran dadah dan hukumannya akan ditukar kepada penjara 30 tahun,” katanya kepada China Press.

Vui Keong berkata, walaupun hukuman mati dihapuskan, semua banduan sedia ada yang dipenjarakan kerana kes pembunuhan tidak akan dilepaskan, tetapi mereka akan dikenakan penjara seumur hidup.

“Untuk pengedar dadah pula, mereka akan dipenjarakan seumur hidup atau dipenjarakan tiga puluh tahun bersertakan sebat,” katanya.

Vui Keong berkata, ramai orang menyangka penghapusan hukuman mati merupakan cadangannya sehingga beliau sering menerima kritikan.

“Hakikatnya, ini merupakan keputusan Jemaah Menteri, bukan keputusan saya,” kata Vui Keong.

Beliau berkata, ramai orang bimbang pemansuhan hukuman mati akan menyebabkan peningkatan kes jenayah.

“Tetapi ramai yang tidak sedar bahawa hukuman mati telah wujud berzaman-zaman lamanya melalui hukuman tembak, jarum beracun, kerusi elektrik, gas beracun malahan kaedah lebih kejam seperti pancung, dan pemisahan badan pada zaman kuno.

“Walaupun hukuman mati wujud, tetapi jenayah tetap berlaku selama ini,” katanya.

Tambahnya, jumlah kes dadah di Singapura dan Hong Kong juga tidak menunjukkan perbezaan ketara walaupun salah satu pulau melaksanakan hukuman mati manakala satu lagi tidak.