Pengurus Butik Al Ajmal, Rozita Mat Reshad menunjukkan beberapa koleksi Telekung Alajmal di butiknya di Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 11 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Enam tahun lalu, wanita berusia 47 tahun ini nekad membuat keputusan besar dalam hidupnya. Lama berfikir masak-masak, Rozita Mat Reshad akhirnya meninggalkan bidang pendidikan sebagai guru yang disandangnya sejak tahun 2007.

Ibu kepada lima anak ini percaya dengan rezeki Allah yang luas.

Wanita kelahiran Kelantan itu nekad membuka perniagaan kerana minat dalam dunia keusahawanan.

Lantaran itu, pemilik Sarjana Muda dari Universiti Islam Antarabangsa ini membuka butik pakaian muslimah dikenali Butik Al Ajmal yang mula beroperasi pada Februari 2014 dengan hanya dibantu oleh seorang kakitangan separuh masa sahaja selama setahun.

MGF11022019_TELEKUNG ALAJMAL02
Rozita memperkenalkan telekung sulaman sebagai keunikan perniagaannya.

“Modal permulaan yang saya laburkan sebanyak RM40,000 untuk buka butik termasuk proses ubah suai dan kemasukan stok.

“Semuanya menggunakan modal simpanan sendiri daripada pekerjaan sebelumnya sebagai seorang guru dan hari ini saya mempunyai seorang kakitangan tetap dan empat orang yang bekerja secara separuh masa,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman, Rozita bermula dengan perniagaan butik pakaian Muslimah sebelum memberi fokus kepada produk kelengkapan haji dan umrah.

MGF11022019_TELEKUNG ALAJMAL13
Rozita Mat Reshad menunjukkan kotak Telekung Alajmal di butiknya di Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 11 FEBRUARI 2019

Tambahnya, pada Mei 2015, seorang rakannya memberi cadangan supaya menjual telekung dan menggunakan modal permulaan sebanyak RM900, dia mengambil stok sebanyak 20 pasang telekung daripada pembekal di Jalan Tengku Abdul Rahman di ibu kota.

“Saya tukar nama telekung itu kepada jenama sendiri iaitu Telekung Arafah Xclusive dan permintaan sangat luar biasa apabila nama telekung itu menjadi tular sehingga diciplak dan dijual berleluasa di seluruh negara.

“Oleh itu, saya mengambil inisiatif untuk menukar kepada rekaan baru setiap kali rekaan telekung saya ditiru sehinggalah terhasilnya lebih daripada 10 design telekung jenama Alajmal sehingga hari ini,” katanya terus-terang.

MGF11022019_TELEKUNG ALAJMAL05
Pengurus Butik Al Ajmal, Rozita Mat Reshad.

Ditanya cabaran dalam cabaran bisnes telekung di bawah jenama Alajmal kini, Rozita mengakui terpaksa berdepan masalah produk tiruan setiap kali rekaan baharu telekung menjadi tular.

Ini kerana rekaannya ditiru menggunakan nama dan model yang digunakan juga adalah model asal walaupun mereka menjual produk tiruan sehingga pelanggan menjadi keliru mana yang asli atau sebaliknya.

“Keadaan ini sedikit sebanyak menyebabkan pendapatan saya agak terjejas. Namun alhamdulillah, saya nekad untuk mengeluarkan jenama telekung sendiri sejak tahun lalu menggunakan jenama Telekung Ajajmal.

MGF11022019_TELEKUNG ALAJMAL10
Pengurus Butik Al Ajmal, Rozita Mat Reshad menunjukkan beberapa koleksi Telekung Alajmal di butiknya di Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 11 FEBRUARI 2019

“Sejak Mei 2015, lebih 100,000 helai telekung telah terjual daripada beberapa rekaan yang popular seperti Arafah, Prada Lace, Ameena, Aulia dan Almarwah.

“Purata jualan telekung pada setiap bulan ialah 2,350 pasang yang dijual secara runcit, jualan ejen dan juga secara borong,” katanya tersenyum.

Rozita menyasarkan jualan telekung melebihi 10,000 pasang dalam tempoh enam bulan ini berikutan pengenalan dua jenama baharu iaitu Telekung Mini Almarwah dan Telekung Ameena Xclusive.

MGF11022019_TELEKUNG ALAJMAL08
Rozita memperkenalkan koleksi Telekung Alajmal yang terdiri daripada pelbagai warna.

“Saya yakin dapat menjual lebih 5,000 pasang Telekung Ameena sebelum Hari Raya Aidilfitri ini dan 1,500 helai Telekung Almarwah pada setiap bulan.

“Tahun ini juga, saya merancang untuk mengeluarkan set telekung ibu dan anak dengan nama Telekung Alwanee yang masih lagi dalam proses pembuatan dan bakal dilancarkan pada awal Ramadan nanti.

“Alwanee ialah satu rekaan edisi istimewa hari raya dan tidak akan diulang pengeluarannya selepas habis terjual,” katanya.

MGF11022019_TELEKUNG ALAJMAL11
Beberapa koleksi Telekung Alajmal pelbagai pilihan warna dan corak di butiknya di Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 11 FEBRUARI 2019

Dalam pada itu, Rozita mengalu-alukan orang ramai yang berminat menjadi ejen dan dropship kerana Butik Al-Ajmal menyediakan program usahawan bermula modal yang rendah.

Jelasnya, untuk menjadikan jenama Alajmal lebih dikenali secara meluas, pihaknya menggunakan sistem ejen dan dropship dan butik vendor yang menjadi trend ketika ini.

“Kami mempunyai lebih 150 ejen dropship di seluruh negara dan ejen yang dilantik tidak dikenakan syarat dan yuran yang dikenakan sangat minimum malah mereka diberikan sepasang telekung percuma sebagai contoh produk.

MGF11022019_TELEKUNG ALAJMAL06
Rozita menjual lebih 2,000 helai telekung setiap bulan.

“Ada juga ejen yang dilantik daripada pelanggan yang berulang manakala butik vendor pula, kami membekalkan telekung kepada pemborong dan pembekal barangan haji dan umrah. Kami hanya menyasarkan sekurang-kurangnya satu stokis sahaja di setiap negeri,” katanya.

Menamatkan perbualan, Rozita sempat berkongsi pandangan tentang masa depan bisnes telekung di negara ini untuk bersaing secara sihat.

“Pada pendapat saya, bisnes telekung merupakan satu perniagaan yang tidak akan pernah mati sampai bila-bila selagi wujudnya umat Islam di atas muka bumi ini kecuali peniaga itu sendiri ingin menukar niche mereka kepada perniagaan yang lain.

MGF11022019_TELEKUNG ALAJMAL12
Rozita sanggup meninggalkan karier sebagai guru untuk menjadi usahawan.

“Untuk bersaing secara sihat, kita mesti yakin bahawa setiap rezeki itu datangnya daripada Allah dan untuk kita melihat sama ada kita sudah berjaya atau tidak dalam sesuatu bisnes itu, apabila produk kita telah ditiru oleh orang lain.  Itu buktinya, jenama kita semakin mendapat tempat dan dikenali dalam masyarakat.

“Langkah seterusnya, cipta inovasi agar pengguna lebih banyak pilihan dan kita perlu menganggap bisnes kita sebagai satu peluang untuk kita melaksanakan fardu kifayah kepada masyarakat di luar sana,” katanya bersungguh-sungguh.

Orang ramai yang berminat dengan telekung Alajmal atau menjadi usahawan, boleh menghubungi talian 011-36502382. – MalaysiaGazette