KUALA LUMPUR – Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) akan mengadakan Hari Terbuka UNITEN selama dua hari bermula Sabtu ini.

Ia akan diadakan di Bangunan Pengurusan Kampus Putrajaya UNITEN bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

WhatsApp Image 2019-03-12 at 4.13.44 PM

Eksekutif Jabatan Komunikasi Korporat UNITEN, Nor Fazliza Abdul Aziz berkata, program itu diadakan bagi memudahkan pengunjung mendapat maklumat mengenai urusan pengajian di universiti berkenaan.

“Antara pengisian program ialah pameran pendidikan dan kerjaya dari Kolej Ekonomi Tenaga dan Sains Sosial, Kolej Kejuruteraan, Kolej Komputeran dan Informatik, Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan serta Kolej Pengajian Siswazah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

WhatsApp Image 2019-03-12 at 4.13.43 PM

Menurut Nor Fazliza, selain itu, khidmat nasihat mengenai bantuan pembiayaan pendidikan turut diadakan.

“Tawaran istimewa turut disediakan kepada pengunjung, antaranya pemohon akan menerima surat tawaran yang akan dikeluarkan serta-merta untuk bakal pelajar yang memenuhi syarat dan kelayakan ditetapkan.

“Yuran memproses permohonan juga dikecualikan bagi pemohon dalam kalangan warga Malaysia,” katanya lagi.

Menurutnya, selain itu, pengecualian Bayaran Menunjukkan Kesungguhan (BMK) sebanyak RM300 akan diberikan kepada yang berjaya ditawarkan pada Hari Terbuka UNITEN.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.uniten.edu.my atau menghubungi 03-8921 2020.- MalaysiaGazette