KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, DatUK Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), malam tadi.

Anugerah tersebut disampaikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),  Datuk Seri Fadillah Haji Yusof pada majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Industri Perkhidmatan Air 2023 anjuran SPAN dan Persatuan Air Malaysia (MWA).

Dr. Zaini merupakan pakar dalam bidang rawatan air dan sisa, figura penting dalam usaha pemulihan sungai dan konservasi air negara.

Melalui persatuan Sahabat Sungai Malaysia, beliau yang juga Presidennya turut menzahirkan usaha dan inisiatif dalam memugar kesedaran dan penghargaan kepada sumber air melalui pelbagai kempen dan aktiviti berbentuk kemasyarakatan.

Penganjuran majlis tersebut adalah serentak dengan program dwi-tahunan, AsiaWater yang telah masuk kali ke-13 penganjurannya di Malaysia melibatkan 700 wakil pemain industri dari dalam dan luar negara.

Selain anugerah Tokoh SPAN, beberapa anugerah disampaikan kepada para pemain industri yang menunjukkan prestasi teladan sepanjang hampir 17 tahun SPAN menjalankan fungsi sebagai badan kawal selia bagi perkhidmatan air untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Proses pencalonan, saringan dan penjurian dimulakan sejak akhir tahun lalu dan keputusan dibuat berdasarkan data laporan prestasi serta penilaian ketat oleh juri-juri daripada pelbagai agensi seperti wakil PETRA, SPAN, pemain industri, badan pentauliahan, konsultan serta wakil agensi berkaitan perkhidmatan air.

MWA pada masa sama meneruskan tradisi penganjuran majlis makan malam dan penyampaian beberapa anugerah kepada mereka yang menyerlah di dalam industri yang dianjurkan secara berkala sejak 1994.

Tujuan utama penyampaian anugerah adalah bagi menyatakan penghargaan terhadap komitmen berterusan para pemain industri dalam mentransformasikan perkhidmatan air melalui pemindahan teknologi, penerokaan inovasi dan daya usaha berterusan dalam merealisasikan Malaysia selaku hub industri air yang berdaya maju.

Turut sama hadir meraikan pemenang dan pemain industri adalah Ketua Setiausaha PETRA, Dato’ Haji Mad Zaidi Mohd Karli, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAN serta Presiden MWA.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast