SINGAPURA – Singapore Airlines mengesahkan anak syarikat milik penuhnya, SilkAir menggantung sementara operasi pesawat Boeing, B737 Max 8.

Langkah tersebut diambil selepas pesawat Ethiopiaan Airlines terhempas pada Ahad lalu, mengorbankan kesemua 157 penumpang dan anak kapal.

Ia merupakan kemalangan kedua B737 Max 8 dalam tempoh enam bulan.

SIA berkata, keselamatan penumpang dan krew menjadi keutamaan syarikat dan pada pagi tadi kesemua enam buah pesaat B737 Max 8 telah digantung operasi sehingga diberitahu kelak.

Sebanyak 17 buah pesawat B737-800 milik syarikat tersebut tidak terjejas dengan langkah itu, katanya dalam satu kenyataan pada laman Facebook.

SIA berkata, penggantungan operasi perkhidmatan angkatan B737 Max 8 akan memberi kesan terhadap beberapa jadual penerbangan syarikat termasuk pembatalan penerbangan.

SilkAir menggunakan pesawat B-737 Max 8 untuk laluan Bengaluru, Cairns, Chongqing, Darwin, Hiroshima, Hyderabad, Kathmandu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Phnom Penh, Phuket dan Wuhan. – Agensi