Dewan Rakyat
Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Walaupun pelbagai “babak penting” dijangka mengambil tempat dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini, tetapi ia tidak termasuk undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, tempoh untuk mengemukakan soalan kepada Dewan Rakyat telah tamat, dan beliau tidak lihat apa-apa soalan berkaitan dengan undi tidak percaya.

“Saya telah melihat agenda mesyuarat dan tiada usul ini. Ia tiada dalam agenda dan tiada orang yang bangkitkan. Oleh itu, soal ini tidak timbul,” katanya dalam wawancara dengan Sinchew Daily.

Kor Ming percaya undi tidak percaya cumalah satu gimik politik yang bertujuan mengelirukan orang dan keadaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Parlimen akan melaksanakan “sesi bertanya PM” mulai Julai yang memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk menjelaskan isu paling penting dan hangat dalam tempoh seminggu.

“Rancangan awal kami ialah mencontohi England untuk memilih sehari dalam seminggu dan memperuntukkan 30 minit sebagai sesi soal jawab dengan Perdana Menteri.

“Kami telah berkomunikasi dengan Perdana Menteri. Secara teorinya, persetujuan telah dicapai supaya sesi ini diadakan,” katanya.

Selain itu, kata Kor Ming, “hari Kementerian” juga akan diperkenal supaya menteri hanya perlu datang sehari dalam seminggu untuk menjawab pertanyaan.

“Sebagai contoh, soalan akan diajukan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan pada Isnin, manakala Selasa akan diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan.

“Dengan cara ini, menteri hanya perlu datang sekali seminggu untuk menjawab soalan yang diajukan kepada kementeriannya,” kata Kor Ming.