Abdul Aziz Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menutup atau menjual Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) disifatkan satu idea yang tidak bijak dan tergesa-gesa.

Ini kerana kerugian besar yang direkodkan oleh syarikat penerbangan negara itu bukan disebabkan salah entiti itu tetapi silap individu-individu yang dilantik untuk memimpinnya.

Satu lagi, kerajaan jangan lupa kedudukan kewangan Malaysia Airlines bermasalah besar disebabkan liabiliti yang diwarisi lebih 20 tahun lalu.

Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang sedih dengan nasib entiti itu berkata, kerajaan jangan hanya hanya melihat penyelesaian jangka pendek dalam menangani masalah besar kewangan Malaysia Airlines tetapi secara keseluruhannya.

“Macam mana boleh keluar idea untuk menutup Malaysia Airlines sedangkan ia adalah lambang sebuah negara, semua ini merepek.

“Dalam menangani masalah membabitkan syarikat negara perlu letakkan rasa sayang dan cinta kepada negara, kena ada semangat patriotik. Jangan cepat mengalah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang pernah menerajui entiti itu percaya Malaysia Airlines masih ada harapan untuk diselamatkan kerana negara ini memiliki banyak pakar kewangan yang boleh dan berupaya membantu syarikat itu untuk pulih semula.

Malah, beliau sendiri menawarkan diri untuk bersama-sama kerajaan dalam membantu mencari jalan penyelesaian kepada nasib syarikat penerbangan ini.

Jelasnya, pelantikan peneraju Malaysia Airlines sekarang sudah betul kerana Kapten Izham Ismail adalah orang dalam syarikat itu dan tahu selok-belok operasi.

Tetapi syarikat itu masih perlu kekuatan dalam barisan pengurusan kewangannya, maka lantiklah pakar yang sesuai.

“Saya percaya dan yakin gabungan Ketua Pegawai Eksekutif dan barisan pengurusan yang terbaik, Malaysia Airlines boleh diselamatkan.

“Tak sayangkah kita pada Malaysia Airlines kerana mereka ada juruterbang terbaik, juruterbaik terbaik dan kakitangan sokongan yang setia. fikir-fikirlah.

“Apapun pilihlah, lantiklah individu yang betul, perlu ada iltizam yang kuat untuk selamatkan Malaysia Airlines. Jangan salah pilih lagi,” tambah beliau.

Ditanya sekiranya kerajaan terpaksa buat satu keputusan yang tidak menyebelahi syarikat itu dengan mengambil kira kedudukan kewangan semasa, Abdul Aziz berkata: “Kalau betul kedudukan kewangan negara goyah, masih ada jalan lain.

“Malaysia Airlines boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan lain. Yang penting kerajaan masih ada pegangan dalam Malaysia Airlines.” – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: